
Seluruh badannya bertatu. Sekali pandang tidak ubah macam samseng kaki pukul. Pertemuan yang dirancang sedari awal, walaupun agak sukar pada mulanya, dilakukan dengan santai dan bersahaja, walaupun banyak mata sinis yang memandang ke arah kami ketika itu.
“Boy”, 25 tahun, yang enggan nama sebenarnya diketahui, pernah berlakon dalam siri drama Anak Metropolitan (arahan Azroy Sultan) yang disiarkan di saluran Suria beberapa tahun yang lalu.
Dengan ketinggian lebih kurang 1.73meter, imej Boy saling tak tumpah macam seorang “ah beng” – kulitnya putih, berambut GI dan badannya kurus. Menurutnya, bapanya seorang Cina manakala ibunya pula Melayu.
“Sorry, eh, I memang tengah kopak. I datang jumpa you pun ikhlas. Kalau you betul-betul tak cukup duit, no need to give me the $30,” kata Boy sebaik sahaja menyapa dan bersalaman dengan aku.
Eh, sungguh beradab “ah beng” ni, bisik hati kecil aku pula.
Aku pada mulanya agak gusar, khuatir dan risau. Apatah lagi bertemu dengan seorang “samseng”. Manalah tahu kan… Bagaimanapun, ia tidak menjadi satu hal. Aku cuba memberanikan diri.
Kami bersembang lebih kurang satu jam – aku telah merakamkan perbualan dengannya melalui iPhone. Secara rahsia. Katanya, dia memang mengharapkan pertemuan ini.
Bila aku tanya mengapa, dia langsung mendiamkan diri. Lidah kelu untuk menjawab. Mungkin, aku rasa, dia sangat-sangat memerlukan $30 yang aku janjikan sebelum kita rancang untuk bertemua agaknya.
Meneruskan perbualan, aku menyentuh tentang isu samseng remaja yang kini mendapat perhatian umum. Katanya, dia tidak pernah terlibat dengan kegiatan haram. Tidak pernah masuk lokap. Cuma sering kena screen dengan pihak polis. Mungkin kerana badannya bertatu dan disangka budak jahat dan sering terlibat dengan perkumpulan dan kegiatan haram.
“Ada tatu tak semestinya *pai kia, pe. Pada I, ini body art,” ujarnya sambil tersenyum sinis.
Pada waktu itu, aku tidak pasti sama ada dia berbohong atau bercakap benar. Melihat daripada reaksinya ketika berbual dengan aku, ada banyak rahsia yang tersembunyi di sebalik wajahnya yang mudah tersenyum itu.
Bila aku sentuh tentang kes tiga belia yang menanti hukuman gantung kerana membunuh seorang remaja politeknik dekat Downtown East baru-baru ini, dia berkata: “I pun tak tau kenapa budak-budak ni buat hal. They are just plain stupid. Not worth their lives. Sampai kena hukum gantung lagi.”
Bila aku bertanyakan Boy tentang mengapa dia sanggup “turun padang” kerana perjanjian $30 sebelum pertemuan, dia anggap wang tersebut “amat penting” buat dirinya kerana dia kini tidak ada kerja tetap. Sekadar kerja sambilan sebagai “mover”, itupun kalau ada “tempahan”.
Meneruskan perbualan lagi, katanya, dia “tidak bergaul” dengan para anggota perkumpulan haram di sini. Kalau boleh, dia ingin menjauhkan dirinya “dari melanggar undang-undang negara”.
Katanya lagi, dia ingin menjadi seorang budak yang baik, walaupun ramai yang mempunyai tanggapan negatif terhadapnya.
“Orang memang tengok kalau I kat luar. Mungkin kerana badan I penuh dengan tatu. Macam-macam reaction yang I see. But, so what? I tak kacau orang pe..,” selorohnya.
“Eh, you betul ke apa nak kasi I $30? Jangan pai tao ah… I datang dari jauh, seh,” sambung Boy, seolah-olah dia rasa aku macam nak cabut lari selepas “menemubual”nya.
Aku hanya tersenyum melihat telatahnya. Siapa sangka, aku berdepan dengan seorang “pai kia” yang berjiwa santai dan bersahaja. Risiko yang aku ambil memang bahaya, tapi aku cuba menunjukkan “keikhlasan” aku untuk berkawan dengannya (hanya buat ketika itu, bukan untuk selamanya).
Aku serahkan $30 ke tangannya. Dia tersentak. Mungkin dia tidak sangka yang aku betul-betul mengotakan janji aku sejak dari awal-awal lagi sebelum kita berjumpa.
“Thanks for chatting with me. But I really need to go now. You’re friendly,” kata aku sebelum beredar dari pertemuan itu.
Dia tersenyum sambil menggenggam erat wang yang aku serahkan. Aku bersalaman dengannya lalu beredar, tanpa menoleh ke belakang.
Selang 5 hingga 10 minit kemudian, aku terima SMS dari Boy:
[Thanx for the promise.]
Aku tersenyum, tapi tidak membalas SMSnya.
____________________________
* Pai kia = budak jahat/nakal
INGIN TIMBA PENGALAMAN BERANI SEBAGAI PENULIS
Mungkin ada di kalangan anda yang tertanya-tanya mengapa aku sanggup berdepan dengan risiko bahaya semasa berjumpa dengan Boy? Ataupun mungkin juga ada yang mempersoalkan, mengapa aku beri Boy $30 semata-mata untuk sesi interviu secara rahsia dan tidak berfaedah ini? Ini bukan untuk akhbar, pe…
Jawapannya mudah. Aku ingin timba pengalaman berani sebagai seorang penulis. Biar aku jelaskan dengan lebih lanjut lagi tentang hal ini…
Sebagai seorang penulis sambilan di BH/BM selama ini, aku lebih cenderung kepada penulisan artikel yang berbentuk profil artis dan konsert. Hati ini tiba-tiba teruja pula untuk melakukan sesuatu demi menguji sejauhmana kesanggupan aku untuk berdepan dengan keadaan sebagai seorang penulis.
Tidak lama dulu, aku pernah dipelawa oleh Cik Haryani Ismail untuk melibatkan diri dalam satu laporan eksklusif tentang “escort Melayu” untuk majalah Sutra (terbitan Berita Harian Singapura).
Bagaimanapun, aku menolak cadangan beliau secara rendah hati kerana belum bersedia, dan atas sebab tiada “confident”. Mungkin juga, aku takut dengan keadaan di sekeliling pada ketika itu. Maklumlah, aku masih lagi mentah dalam dunia penulisan di akhbar atau majalah.
Namun, hari demi hari, sifat berani mula kental dalam jiwa dan sanubari. Aku ingin melakukan sesuatu yang boleh mencabar keyakinan diri untuk menjadi seorang penulis yang berwibawa suatu hari nanti.
Maka, lahirlah idea untuk menemubual seorang belia Melayu yang bertatu, memandangkan isu samseng remaja di kalangan masyarakat tempatan kini semakin mendapat perhatian di seluruh pelusuk pulau Temasek.
Jangan ditanya bagaimana aku mendapat sumber “objek” untuk laporan ini. Itu adalah rahsia. Nombor telefon Boy juga aku perolehi dari sumber yang boleh aku percayai.
Mengenai $30 yang aku “upah” untuk keterangan Boy, itu hanyalah “alat” agar aku peroleh informasi untuk artikel peribadi di blog ini, serta untuk mendapatkan pandangan jujur darinya.
Tidak sukar untuk melaksanakannya. Semuanya dilakukan dengan penuh keikhlasan untuk mengenali Boy dengan lebih dekat lagi.
Aku sengaja tidak merakamkan foto Boy kerana perlunya ada rasa hormat terhadap dirinya. Dia juga menusia biasa. Cuma lifestylenya sahaja yang berbeza. Cukuplah dengan keterangan yang aku rakamkan sebagai bahan rujukan untuk rencana eksklusif ini.
Secara peribadi selepas aku menemubual Boy, dia merupakan seseorang yang senang di ajak berbual dan tidak banyak “songeh”. Dia telus dan jujur. Tapi, apa yang terselindung di sebalik “kebenaran” yang dia luahkan, hanya Allah yang tahu.
Aku puas hati dengan misi peribadi yang aku jalankan untuk kali ini. Aku telah bersedia untuk satu lagi misi di masa-masa yang akan datang. Ini semua dilakukan semata-mata kerana minat yang mendalam terhadap penulisan.
Semoga Allah swt beri aku kekuatan serta diberi perlindunganNya. Ameen.