Nuzul Al-Quran


Oleh Dr Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam (Universiti Kebangsaan Malaysia)

17 Ramadhan merupakan salah satu hari yang berlaku peristiwa penting dalam Islam.

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya.

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’.

Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).” (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.

Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq, maksudnya:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)

By Naser Ahmad Posted in Ramadan

Tiga Diva Bersatu Untuk Program Hari Raya


Siti Nurhaliza merupakan peminat setia Ella dan Ramlah Ram...

Siti duet dengan Sean Kingston

SUATU ketika dulu dia adalah peminat setia dua penyanyi wanita popular ini. Bukan saja memuja suara dan personalitinya, malah lagu mereka juga turut menjadi pilihan untuk dinyanyikan. Bagaimanapun, minat Datuk Siti Nurhaliza terhadap dua penyanyi bertaraf diva, Ramlah Ram dan Ella hanyalah jauh saja.

Tidak terlintas bahawa satu hari nanti dua penyanyi itu bakal berkongsi pentas bersamanya. Siapa sangka, dari seorang peminat kini mereka boleh berkongsi pentas dan saling bertukar menyanyikan lagu popular masing-masing.

Peristiwa yang dianggap bersejarah dan penuh bermakna itu hanya akan dapat disaksikan menerusi program Hari Raya Aura 3 Diva terbitan Global Station Sdn Bhd di saluran 188 Astro Raya HD  pada hari raya pertama nanti. Sewaktu menyaksikan rakaman program itu Studio FINAS, baru-baru ini, terlihat keserasian antara mereka.

Sesekali mereka ketawa melihat telatah Ella yang memang manja orangnya. Malah disebabkan ‘ikatan kimia” yang terjalin itulah membuatkan rakaman program hiburan itu berlangsung dengan jayanya walaupun ia hanya selesai selepas jam menunjukkan angka 1 pagi.

“Ramlah Ram dan Ella memang penyanyi kegemaran Siti dan peluang untuk menyanyi bersama mereka adalah sesuatu yang amat nantikan. Siti paling suka lagu Layar Impian dan Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu. Sebelum ini, kami pernah digandingkan bersama tetapi berkongsi pentas dan bertukar-tukar lagu seperti yang dilakukan hari ini, itu adalah kali pertama,” kata Siti kepada Berita Harian Malaysia ketika ditemui pada rakaman program berkenaan.

Untuk program itu, Siti menyanyikan kembali lagu Layar Impian dendangan Ella serta Diam Diam Jatuh Cinta yang pernah dipopularkan Ramlah.

Selepas single lagu Inggeris pertamanya, Falling In Love berjaya menerobos carta nombor satu stesen radio, Siti bakal membuat kejutan apabila bakal berduet dengan penyanyi Sean Kingston yang cukup popular dengan lagu Beautiful Girl.

“Kebetulan penerbit album Inggeris Siti memang mempunyai hubungan baik dengan Sean dan selepas berbincang, dia pun bersetuju untuk membuat penampilan istimewa dalam lagu yang berjudul Remember Me. Siti sudah merakamkan bahagian Siti dan Sean akan merakamkan bahagiannya nanti.

“Ini adalah penampilan pertama Sean selepas bercuti rehat akibat kemalangan,” katanya.

Mengenai isu produk SimplySiti yang didakwa tidak halal oleh sebuah blog, Siti berkata perkara itu sudah selesai.

“Siti kesal dengan dakwaan yang tidak berasas itu. Tapi Siti anggap perkara ini selesai apabila JAKIM sendiri membuat kenyataan di akhbar menafikan semua tuduhan yang mengatakan produk kosmetik saya tidak halal,” jelasnya.


Ramlah Ram kagum dengan kejayaan Siti Nurhaliza…

Nyanyi lagu ciptaan peminat

Bukan saja Siti Nurhaliza yang mengagumi dua penyanyi itu, tetapi Ramlah juga mempunyai perasaan sama terhadap penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu. Puji Ramlah, Siti dilihat sebagai penyanyi boleh pergi jauh sewaktu melihat penampilannya awalnya di kaca TV.

“Saya suka suaranya. Apa saja lagu yang dinyanyikan Siti, semuanya berkesan dalam hati. Mula-mula melihatnya dulu, saya nampak Siti boleh pergi lebih jauh dalam bidang ini dan dia sudah membuktikannya,” jelas penyanyi yang berasal dari Kesang, Muar ini.

Apa yang membuatkan Ramlah gah di mata Siti adalah, penyanyi ini mampu mempertahankan dirinya selama dua dekad dalam bidang seni.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Ramlah berkata buat masa ini dia sedang mempromosikan single terbarunya, Sesaat kau Datang.

“Lagu ini ciptaan ahli kelab peminat Ramlah Ram sendiri. Dalam lagu ini saya berduet dengan kumpulan Sleeq dari Singapura.

Saya harap single ketiga saya pada tahun ini peminat yang sentiasa menantikan buah tangan saya yang terbaru,” katanya.

Seperti tahun lalu, Ramlah akan merayakan sambutan Aidlfitri di kampungnya di Kesang, Muar.

“Persiapan hari raya saya biasa saja. Saya lebih memikirkan persiapan ahli keluarga lain berbanding diri sendiri,” kata Ramlah yang kelihatan anggun mengenakan fesyen tudung persis penyanyi Erykah badu.


Ella membawakan lagu balada…

Berkorban demi lagu terbaru

KESIBUKAN dengan rakaman album baru menyebabkan satu-satunya Ratu Rock ini tidak dapat berhari raya lama dengan  keluarganya.

Walaupun ada perasaan sedih namun tegas Ella, semua itu dibuat kerana mahu memastikan album yang bakal berada di pasaran hujung tahun nanti benar-benar berkualiti dan mampu memuaskan hati pendengar.

“Cuti raya Ella tahun ini pendek saja kerana Ella perlu kembali ke studio menyiapkan album baru. Kepada peminat Ella tunggu saja kemunculan single terbaru Ella berjudul Menyanyi Lalala yang dicipta oleh Taja Meet Uncle Hussain,” katanya dalam nada teruja.

Mengulas pembabitannya dalam program hiburan itu, Ella berkata dia memang teruja kerana dapat digandingkan dengan penyanyi hebat dari pelbagai generasi.

“Ella memang suka dengan semua lagu Siti dan Ramlah. Macam malam ini, kalau boleh Ella nak saja nyanyi lagu Cindai, tapi pakaian Ella tak kena konsep pula,” ujarnya sambil disambut hilaian tawa penonton.

Memilih lagu Dua Insan Bercinta serta lagu Purnama Merindu dan Apa Khabar Mu Disana, Ella membuktikan bahawa dia memang penyanyi serba boleh dan walaupun genre muzik kedua lagu itu bukanlah makanannya, namun Ella berjaya membuatkan penonton terhibur dengan persembahannya. Semua penyanyi malam itu diiringi pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito.

Permata Berharga



Senyuman mereka adalah penawar rindu.
Karenah mereka membuat kita tersenyum.
Gelak ketawa mereka pemadam segala duka.
Mereka ibarat penyambung nyawa.
Seandai mereka lenyap
dari pandangan mata…
Musnahlah segalanya
hilanglah permata berharga…

Anak.

By Naser Ahmad Posted in My Life

Lagu Hari Raya: Pandangan Berbeza


Suasana iftar di bulan Ramadan

Rata-rata di Facebook ramai yang memperkatakan tentang lagu-lagu Hari Raya yang mula berkumandang di corong-corong radio tempatan. Sebabnya: Umat Islam baru sahaja 12 hari menjalani ibadah puasa.

Bukannya apa. Ada yang khuatir iman kita akan tergugat dalam kita mengejar pahala Ramadan gara-gara “semangat Hari Raya” yang mula meresap ke dalam jiwa kita.

Dalam hal ini, saya rasa seperti berada di tengah-tengah “pertelagahan” ini. Betapa tidak. Dalam kita berpuasa dan berusaha mendapat ganjaran Allah di bulan yang suci ini, saya rasa tidak salah sekiranya lagu-lagu Hari Raya dimainkan di radio walaupun kita hanya baru 12 hari menjalankan perintah Allah dalam menahan lapar dan dahaga.

Lumrah kita manusia, Aidilfitri merupakan hari gembira buat semua umat Islam. Persiapan untuk meraikannya sudah awal-awal lagi dirancang.

Sama juga seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Cuma bezanya, mereka tidak perlu berpuasa dan mengejar pahala sebelum menyambut hari keramaian mereka.

Dalam Islam, kita diingatkan agar mempertingkatkan amalan dan mendekatkan diri pada Allah serta melipatkan-gandakan ibadah untuk mengejar Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan.

Ramai juga para rakan asatizah saya di Facebook yang menyentuh tentang isu di mana radio tempatan kita terlalu awal memainkan lagu-lagu Hari Raya.

Mereka tidak melarang umat Islam yang sibuk membuat persiapan menjelang Aidilfitri, cuma apa yang mereka risaukan sekiranya ibadah kita terganggu dek laungan vokal lantang Siti Nurhaliza, Sharifah Aini dan M Nasir mendendangkan lagu-lagu hits Hari Raya mereka.

Kemeriahan semasa Aidilfitri...

Lihat sahaja semasa pelancaran lampu lap-lip di Geylang Serai anjuran Majlis Pusat dan stesen Suria. Bukan main ramai yang mengkritik. Ada yang mencemuh. Ada juga pembaca yang mengirimkan surat bantahan di ruangan Forum di Berita Harian.

Juga ada kata-kata sinis dan sindiran yang saya baca mengatakan “dunia akan kiamat tidak lama lagi”.

Lain pandangan lain pula jadinya. Kita lihat sendiri, betapa ramainya lautan manusia yang membanjiri acara tersebut. Makcik-makcik yang bertudung terlonjat-lonjat kegembiraan apabila Stacy membuat persembahan. Itu belum lagi Rosyam Nor yang tampil ke atas pentas.

Bagaikan sudah terang lagi bersuluh. Pandangan umum tentang persiapan rancak untuk menyambut kedatangan Syawal amat bercanggah. Pendapat yang berbeza-beza hinggakan kita sendiri keliru dengan apa yang sebenarnya berlaku.

Namun begitu, dalam kita keriangan (ataupun dalam kedukaan) mendengar “Pulanglah” dari suara lunak Aishah ataupun “Sepasang Kurung Biru” dari Khairil Johari Johar, marilah kita berusaha agar ibadah kita tidak luntur dalam menjelangnya 10 terakhir Ramadan yang menjadi kemuncaknya.

Dalam merumuskan isu ini, terpulanglah pada kekuatan iman seseorang itu. Kita hanya doakan yang terbaik buat diri sendiri dan juga keluarga kita. Selebihnya, biarlah Allah swt yang menentukan amalan kita. Wallahu’alam.

By Naser Ahmad Posted in Ramadan

Zubir Said – Komposer “Melayu Sejati”


SEMPENA HARI KEBANGSAAN SINGAPURA KE-46

Allahyarham Zubir Said merupakan komposer Lagu Kebangsaan Singapura, ”Majulah Singapura” dan ”Semoga Bahagia” - lagu rasmi Hari Anak Singapura dan Festival Kaum Muda Singapura.

Allahyarham Zubir Said dilahirkan pada tanggal 22 Julai 1907 di Bukit Tinggi, Sumatera Barat dan meninggal dunia di Joo Chiat Place, Singapura, pada 16 November 1987 akibat penyakit hati yang dideritainya.

Allahyarham merupakan anak sulung daripada 8 beradik - 3 lelaki dan 5 perempuan. Ibunya meninggal dunia ketika beliau berusia 7 tahun.

Allahyarham Zubir Said mempelajari bidang muzik dan boleh bermain alat-alat muzik seperti seruling, gitar dan drum secara otodidak.

Meskipun beliau menerima pendidikan di sebuah sekolah belanda, Allahyarham lebih cenderung dan tertarik kepada bidang muzik.

Pada 1928, Allahyarham telah merantau ke Singapura untuk mencapai cita-citanya dalam bidang muzik meskipun ayahnya, Allahyarham Mohamad Said Sanang, membantah.

 

Karier Seni Muzik

Allahyarham Zubir Said memulakan karier seni muziknya di Bangsawan Group, sebuah kumpulan opera Melayu sebelum beliau berhijrah ke syarikat rakaman His Master’s Voice pada tahun 1936.

Allahyarham Zubir Said bernikah dengan Tarminah Kario Wikromo, seorang penyanyi keroncong di Jawa pada 1938.

Allahyarham telah pulang ke tanah kelahirannya di Bukit Tinggi pada 1941 dan kembali ke Singapura pada tahun yang sama dimana beliau bekerja sebagai jurugambar sambilan untuk akhbar Utusan Melayu.

Allahyarham telah menghasilkan lebih 1,500 karya berbentuk muzikal, namun ia belum disiarkan umum. 

Allahyarham lebih menumpukan perhatian kepada para seniman muda yang ingin mempelajari dengan lebih mendalam tentang seni muzik, daripada mengejar keuntungan daripada hasil karya yang diciptanya.

Pada 1957, buat pertama kalinya, karya muzikal Allahyarham Zubir Said dipentaskan buat tontonton umum di Panggung Victoria.

Pada tahun 1958, Dewan Bandaraya telah menetapkan salah satu lagu ciptaannya sebagai lagu rasmi Singapura yang kemudiannya menjadi Lagu Kebangsaan Singapura.

Lagu-lagu ciptaan Allahyarham Zubir Said merupakan irama variasi - daripada irama tradisional hingga kepada lagu-lagu soundtrack bagi filem-filem terbitan Cathay Keris.

Salah satu lagunya yang dipetik dari filem Dang Anom telah menerima penghargaan di Festival Filem Asia ke-9 di Seoul, Korea Selatan, pada 1962.

Para komposer mapan pada ketika itu telah menilai karya ciptaan Allahyarham Zubir Said sebagai “Melayu Sejati” di mana kebanyakan lagu-lagu ciptaannya berunsurkan sejarah dan nilai-nilai kemelayuan yang membangkitkan semangat kemasyarakatan pada era 50-an.

Antara lagu-lagu ciptaan Allahyarham Zubir Said ialah Sang Rembulan, Sayang Di Sayang, Cinta, Selamat Berjumpa Lagi, Mari Pancing Ikan, Gelora Asmara, Kunang Dan Rama-Rama, Melodi Asmara, Kolam Mandi, Setangkai Kembang Melati, Nasib Malang dan Anak Daro.

 

Nota: Artikel ini telah disusun semula untuk siaran blog ini. Artikel ini pernah disiarkan dalam bahasa Indonesia di sebuah laman kaum Minang.