BM [31 Jan 10]: Yusoff Maruwi belum pencen sebagai pelawak



AMAT jelas terpancar di raut wajah pelawak Yusoff Maruwi bahawa beliau sangat terkilan dengan perjalanan seninya kini.

Masakan tidak, Yusoff jarang sekali muncul di kaca televisyen hinggakan ada peminat yang menyangka beliau sudah bersara dari dunia lakonan, terutama bidang lawak.

Yusoff, ditemui di majlis meraikan ulang tahun hari lahir kedua anak bongsunya baru-baru ini, menjelaskan beliau tidak menghilangkan diri, tetapi tiada tawaran muncul dalam mana-mana program televisyen buat masa ini.

“Saya kurang pasti kenapa saya sudah lama tidak diundang. Tapi itu bukan bermakna saya sudah pencen.

“Saya masih lagi aktif sebagai pengacara dan pelawak undangan di majlis-majlis tertentu anjuran persatuan dan kelab-kelab masyarakat,” kata Yusoff, yang terakhir sekali muncul menerusi drama Jalan Pulang dua tahun lalu.

Beliau, Pegawai Kesihatan di Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), berkata sebagai insan berjiwa seni, keinginan berlakon memang amat sukar dibendung.

Lebih-lebih lagi, rancangan yang berunsurkan komedi sudah kian berkurangan dan jarang sekali diketengahkan dewasa ini.

Membuat orang ketawa, katanya, bukan mudah. Mereka yang mahu berlawak perlu ada bakat semula jadi.

“Pelawak dan pelakon komedi adalah dua perkara berbeza. Saya harap mereka di luar sana tidak akan keliru,” katanya.

BENGKEL LAWAK

Yusoff, yang memang berhasrat memajukan dunia lawak yang memang sudah sebati dengan dirinya, kini bercadang menganjurkan bengkel lawak jenaka khusus buat mereka yang berbakat dan berminat dalam bidang ini.

“Pengalaman dan ilmu yang ada pada saya ingin sekali saya kongsi dan salurkan kepada bakat-bakat baru.

“Rasanya, sudah tiba masanya kita ada pelapis muda untuk terus memperjuang dunia seni lawak Melayu yang kian tandus di sini,” ujar Yusoff dengan nada serius.

Sebelum ini, Yusoff pernah mengutarakan hasrat mengadakan bengkel yang serupa. Bagaimanapun, rancangannya terbantut kerana sambutan kurang menggalakkan.

KELUARGA

Menyentuh tentang alam rumah tangga yang dibinanya selama 10 tahun bersama Sanisah Ismail pula, Yusoff amat berbesar hati kerana mempunyai isteri yang memahami dirinya sebagai seorang pelawak tanah air.

“Peminat wanita menghormati saya dan isteri. Selalunya jika mereka ingin bergambar, mereka akan minta izin isteri saya terlebih dahulu.

“Mungkin mereka takut kalau-kalau isteri saya cemburu agakanya,” selorohnya.

Rumah tangga Yusoff kini disinari dengan kehadiran tiga orang anak – Nurezzati Syairah, 17 tahun; Yusnisa Nurmarsya, empat tahun dan Yusilham Nurhaqeem, dua tahun.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s