Masih jelas terbayang imej penyanyi Ayai yang bertopi, berkot labuh dan bersarung tangan hitam, sewaktu mengalunkan lagu Segalanya Ku Terima bersama kumpulan Illusi di pentas Anugerah Juara Lagu TV3 (Malaysia), 21 tahun yang lalu.
Siapa pun sukar melupakan alunan vokal Ayai yang gemersik, tapi cukup lunak dan merdu, yang membuatkan ramai peminat wanita meruntun jiwa mereka setiap kali mendengar Ayai mendendangkan lagunya, Puisi Cinta?
Menurut Ayai, yang terakhir kali muncul dengan album solo pada tahun 1994, beliau bersyukur kerana lagu-lagunya masih lagi diputarkan di corong-corong radio di Malaysia dan Singapura.
Penulis pada mulanya tidak mengenali Ayai, atau nama sebenarnya Zahruddin Kamaruddin, sewaktu ditemukan dalam satu sesi temubual di Perkampungan Melayu Geylang Serai baru-baru ini, kerana perubahan fizikalnya yang amat ketara.
Namun, suaranya ketika memberi salam membuat penulis tersentak dari lamunan bahawa insan yang berada di depan mata adalah penyanyi yang cukup terkenal suatu ketika dahulu.
“Manusia akan mengalami perubahan fizikal dari masa ke masa. Saya pun begitu. Apa pun, satu sahaja yang tidak berubah. Ramai yang kata suara saya ketika menyanyi masih seperti dulu,” seloroh Ayai yang tampak ceria.
Bagaimanapun, menurut Ayai lagi, beliau bukan menghilangkan diri dari dunia seni suara.
Sebaliknya, kegiatannya di bidang nyanyian tergendala seketika sejak 1996 kerana peti suaranya koyak akibat terlalu kerap menyanyi selain kesan rawatan berhenti merokok.
“Selama enam tahun, saya tidak boleh menyanyi langsung. Bagaimanapun, berkat disiplin dan selalu mengikut nasihat doktor, suara saya semakin pulih. Alhamdulillah, kini saya dapat meneruskan kegiatan menyanyi seperti biasa,” tambah Ayai.
Dalam kesungguhan beliau meneruskan kegiatan seni yang dicintainya, Ayai, bapa kepada tiga orang anak, juga sempat mempelajari selok-belok dunia perniagaan dalam bidang kontraktor, khususnya. Beliau kini memiliki dan mengurus sendiri syarikat yang ditubuhnya di Johor Bahru tidak beberapa lama dahulu.
Ayai, 48 tahun, kini menetap di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru, bersama keluarganya dan menguruskan niaga bidang kontraktor.
Bila ditanya sama ada beliau bersedia kembali ke dunia seni suara, Ayai terdiam seketika.
“Sekarang bukan macam zaman saya dan kumpulan Illusi dulu. Bukan saya takut untuk kembali dengan album baru, tapi, saya ingin melakukan sesuatu pekerjaan secara bertahap-tahap.
“Jika saya perlu keluarkan belanja sendiri untuk buat album baru, saya akan lakukan. Saya tidak mahu tergopoh-gapah menghasilkannya. Tunggulah dulu,’ kata ayah tiga anak itu.
Namun, Ayai berura-ura merakamkan semula lagu-lagu hit beliau bersama Illusi jika diberi kesempatan. Beliau berharap lagu-lagu yang dirakamkan semula itu nanti dapat mengikut citarasa pendengar masa kini.
Ayai memulakan kariernya dalam bidang seni suara pada 1970 sebagai penyanyi radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Orkes RTM di Johor Bahru.
Pada 1985, Ayai mengenali sifu M Nasir dengan lebih rapat.
“Kami masih berhubung dan bertemu baru-baru ini. Beliau pernah syorkan agar saya kembali merakamkan lagu baru. Fauzi Marzuki pula sedia menyumbangkan lagu.
“Tapi entahlah… kalau ada rezeki, saya sedia berkerjasama dengan mereka lagi,” ujar Ayai penuh semangat.
Sebagai penyanyi undangan sewaktu acara Pertandingan Akhir Bintang Emas Karaoke di Dewan Singgahsana baru-baru ini, ternyata, peminat masih merindui kemunculan Ayai.
“Saya terlalu gembira dan terharu dengan sambutan yang diberikan. Orang Singapura masih mengenali dan menghargai saya. I love you, Singapore,” ujar Ayai penuh semangat.