BM [18 Jul 10]: Cerai tidak hambat tekad


“Kami sudah sah bercerai,” begitulah ungkapan penyanyi terkenal, Ramlah Ram, sewaktu dihubungi penulis menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Biarpun kisah perceraiannya dengan Kamal Roslim, penerbit rancangan sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), merupakan isu hangat yang masih lagi diperkatakan, Ramlah tetap cekalkan hati demi meneruskan kehidupannya sebagai seorang wanita dan juga penghibur yang disukai ramai.

Sebelum ini, banyak spekulasi yang timbul di kalangan pihak media hiburan di Malaysia yang mempertikaikan status Ramlah, memandangkan bekas suaminya tidak pernah kelihatan sewaktu beliau menghadiri majlis-majlis hiburan. Namun, Ramlah tetap berdiam diri dan cuba mengelak pertanyaan wartawan tentang isu rumah tangganya pada ketika itu.

“Ramlah sedar, sebelum berita perceraian ini, ramai yang membuat andaian tentang rumah tangga Ramlah. Ramlah bukan mengelak, cuma perceraian belum berlaku dan rasanya tidak sesuai bagi Ramlah untuk membuat sebarang kenyataan.

“Bagaimanapun, ingin sekali Ramlah perjelaskan di sini bahawa Kamal dan Ramlah kini tidak lagi bersama dan kami sudah pun bercerai secara damai,” akui penyanyi Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) ini.

BUKAN KERANA ORANG KETIGA

Biarpun diasak penulis berkali-kali, Ramlah tetap enggan memberi kenyataan berhubung punca sebenar keretakan mahligai yang dibinanya selama 10 tahun bersama Kamal. Ramlah juga menafikan sekeras-kerasnya penglibatan orang ketiga sebagai alasan untuk bercerai.

“Ramlah harap, tiada spekulasi buruk tentang punca perceraian ini. Cukuplah sekadar Ramlah katakan bahawa kami berpisah secara baik dan masih berhubung sebagai kawan biasa.

“Keputusan untuk kami berpisah juga adalah kata sepakat dan tidak akan timbul soal bermasam muka ataupun pergaduhan,” tambahnya lagi.

Perceraian Ramlah dan Kamal merupakan satu lagi peristiwa duka yang terpaksa dicoret dalam diari kehidupannya.

Pada awal tahun ini, bapa Ramlah, Ram Mohamed, telah pergi menyahut seruan Ilahi. Selang sebulan kemudian, Tom, kucing kesayangannya pula, mati akibat penyakit buah pinggang.

“Ramlah akui terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa Ramlah sejak kebelakangan ini.

“Namun, Ramlah anggap apa yang telah berlaku merupakan satu rahmat yang tersembunyi serta ketentuan dari Allah. Ramlah harus terima dengan hati yang terbuka,” ujarnya dengan nada sayu.

MALAM GALA 25 TAHUN

Apa yang dialami Ramlah Ram baru-baru ini tidak mematahkan semangatnya untuk menggilap kerjayanya yang semakin bersinar.

Sempena meraikan 25 tahun pembabitannya dalam bidang seni suara, anak didik komposer veteran Datuk Ahmad Nawab ini, bakal tampil dengan sebuah persembahan eksklusif pada 9 Oktober nanti.

Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram yang akan berlangsung di Hotel Impiana, Kuala Lumpur, bakal menyaksikan kehebatan Ramlah mendendangkan 25 buah lagu popularnya, di samping pelbagai kejutan buat peminat.

Ramlah juga turut mengundang pelakon dan pengacara popular, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), sebagai pengacara majlis.

“Ada kejutan buat penonton dari aspek persembahan dan corak nyanyian Ramlah yang tidak pernah peminat saksikan sebelum ini.

“Selain itu, Ramlah juga akan menyajikan lagu-lagu yang diberi susunan muzik terbaru yang diiringi oleh para pemuzik khas,” terang penyanyi bersuara merdu itu penuh semangat.

Majlis pada malam itu merupakan hasil idea ahli kelab peminat Ramlah, Ramlah Ram Group (RRG), yang ditubuhkan kira-kira tiga tahun yang lalu.

Menurut Ramlah lagi, konsert eksklusif tersebut yang juga dianjurkan oleh RRG, bakal menguji sejauhmana beliau mampu mengadakan konsert yang lebih gah pada masa akan datang.

“Malam Gala itu nanti akan menjadi penentu sama ada Ramlah akan terus menghasilkan siri konsert selanjutnya.

“Biarpun sukar mencari penaja, Ramlah tidak patah semangat dan akan terus lakukan yang terbaik demi kepuasan peminat setia Ramlah yang telah memberi sokongan padu selama ini,” ujarnya.

Hanya 260 tempat yang disediakan bagi menyaksikan Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram.

Butiran lanjut tentang konsert itu boleh diperolehi di laman web rasmi Ramlah di www.ramlahram.com.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s