BM [17 Jan 10]: Sama Hebat



LAGU dan irama tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan persahabatan yang terjalin di antara dua “diva” tersohor dari dua negara yang berbeza, yang sama-sama pernah menggondol gelaran Artis Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik sebelum ini.

“CTKD” atau ringkasan bagi Canda, Tangis, Ketawa dan Duka, merupakan buah tangan terbaru yang memperlihatkan kolaborasi di antara penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza dan jelitawan terkenal dari Indonesia, Krisdayanti (KD).

Album duet yang memuatkan enam lagu ciptaan terbaru itu menggabungkan tenaga kerja para pemuzik Malaysia dan Indonesia dan sekaligus, mengembalikan keyakinan para peminat bahawa dua negara boleh menjadi satu – terutamanya dalam bidang muzik di mana sejak kebelakangan ini telah menjadi pendebatan hangat di antara kededua negara.

Selain gabungan para pemuzik dan komposer, Siti dan KD turut mencurahkan emosi masing-masing melalui lagu-lagu yang dirakamkan serta lirik lagu yang diilhamkan oleh mereka sendiri.

Misalnya, lirik nukilan KD untuk dua buah lagu dalam album ini bagai mencerminkan kehidupan penyanyi itu pada ketika ini. Tidak hairanlah sekiranya Kris berjaya menyampaikan lagu-lagu tersebut dengan penuh penghayatan dan dengan caranya yang tersendiri.

Kelantangan serta kemerduan vokal Siti pula tidak perlu dipertikaikan lagi hingga menyukarkan saya untuk menilai siapakah di antara mereka berdua yang lebih menonjol dan miliki vokal yang terhebat.

Walaupun hanya sebuah lagu ciptaan komposer Indonesia yang dimuatkan dalam album ini, CTKD mampu memberikan suntikan terbaru dalam industri muzik nusantara yang selama ini dahagakan album duet seumpama ini yang jarang sekali dihasilkan.

Menyentuh tentang lagu-lagu yang terkandung dalam album ini, “Tanpamu” sentuhan Muhammad Charly van Houten atau lebih dikenali sebagai Charly, vokalis dari kumpulan ST12, mampu menambat hati para pendengar kerana melodinya yang mengasyikkan dan menyentuh perasaan.

Audi Mok, yang sebelum ini turut menyumbangkan lagu dalam album solo Siti yang terdahulu, masih mengekalkan irama pop dan rancak di dalam album duet ini. Ternyata, lagu-lagu ciptaan Audi seperti “Jika Kau Tak Datang” (lirik Krisdayanti), “Dalam Diamku” (lirik Krisdayanti) dan “Amarah” (lirik Siti Nurhaliza), amat serasi dengan jiwa dan naluri Siti dan KD.

Album yang diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions dan KD Record ini turut memuatkan lagu Sebagai Teman (Sharon Paul/Lew Mable) dan Hanya Dia (Aubrey Suwito/Pacha Adrian), serta empat buah lagu dalam bentuk “minus one”.

Sama ada Siti atau KD yang berjaya menambat hati anda menerusi album ini, terletak pada penilaian anda sendiri. Bagi saya, CT atau KD tiada bezanya – sama-sama hebat!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s