BM [14 Sep 08]: Ustaz Pun Sudah Ada Blog…



Biasanya suara mereka hanya didengar di masjid-masjid atau di majlis-majlis ceramah agama. Tetapi sekarang ‘suara’ mereka turut dikenali di alam maya – terutama di kalangan pengunjung diari maya atau blog.

Dalam menghadapi dunia internet yang kian hari kian tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia zaman sekarang, para asatizah kita ternyata tidak mahu ketinggalan.

Beberapa ustaz yang sempat ditemubual berkata, mereka menggunakan blog sebagai wadah mendekati masyarakat, bukan saja berkongsi pandangan mengenai kehidupan seharian, tetapi juga cerita-cerita peribadi untuk dijadikan renungan. Soal jawab mengenai kemusykilan agama juga disertakan.

Yang menariknya, sesetengah daripada asatizah itu menggunakan pendekatan dwibahasa dalam menarik pelungsur Internet berbilang bangsa.

USTAZ MOHD YUSRI YUBHI MD YUSOFF
[
http://abahyasir.com/]

Mula berkecimpung dalam arena penulisan blog empat tahun lalu.

Pada awal pembabitannya, beliau hanya berkongsi kisah peribadi dan keluarga, khusus untuk tatapan famili dan teman rapat sahaja. Kebanyakan artikel yang dipaparkan mengandungi gambar-gambar yang menarik serta corat-coret tentang perjalanan kehidupan beliau sejak mendirikan rumah tangga.
 

Bagaimanapun, sejak awal tahun ini, Ustaz Yusri melangkah setapak lagi dengan menghasilkan blog berkonsep keagamaan, Dalam blog inilah beliau berkongsi pengalaman berinteraksi dengan para jemaah yang hadir ke pejabat beliau untuk mendapatkan bimbingan agama dan juga kaunseling.

Kata Ustaz Yusri: “Saya mengharapkan agar blog saya dapat memberi iktibar dan pengetahuan kepada masyarakat serta dijadikan satu medan untuk saya berdakwah. Selain itu, saya juga dapat berinteraksi secara langsung dengan para pengunjung blog saya.”

Ustaz Yusri, bekas imam eksekutif Masjid Al-Falah di Bideford Road, turut memberikan pandangan beliau tentang kecanggihan zaman teknologi hari ini, terutama melalui dunia siber, untuk mendekatkan diri dengan masyarakat tidak kira peringkat usia.

“Sekurang-kurangnya, ia dapat dijadikan saluran alternatif bagi masyarakat untuk mengunjungi beberapa laman asatizah setempat untuk mendapatkan matlumat atau nasihat (tentang agama),” ujar Ustaz Yusri, 33 tahun, yang telah memperolehi Sarjana Usuluddin dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

“Saya amat berbesar hati dengan sambutan baik dan menggalakkan dari masyarakat yang telah berkunjung ke blog saya. Komen yang positif dan perangsang dari pengunjung membuatkan saya lebih bersemangat lagi untuk terus menulis dan berkongsi pandangan dalam menghasilkan sesuatu yang bermanfaat buat semua,” jelas Ustaz Yusri lagi.

Selain lamat tersebut, Ustaz Yusri juga menawarkan khidmat kaunseling dan kemusykilan agama dalam menangani isu-isu peribadi dan kekeluargaan di laman multiply beliau.

USTAZ MUHAMMAD HANIFF HASSAN
[
http://www.haniff.sg/]

Blog dwibahasa (Melayu dan Inggeris) Ustaz Muhammad Haniff Hassan lebih tertumpu kepada isu-isu agama yang lebih mendalam dan bersifat interaktif sepenuhnya. Kebanyakan daripada para pengunjung blog Ustaz Haniff merupakan mereka yang musykil tentang isu-isu agama dan inginkan pandangan serta jawapan langsung daripada beliau.

Menurut Ustaz Haniff: “Sebagai seorang ustaz, saya memikul tanggungjawab yang besar untuk membimbing masyarakat agar memahami dan menghayati Islam dengan lebih baik. Blog hanyalah satu media tambahan untuk saya memainkan peranan (sebagai seorang ustaz), selain media-media lain seperti kelas pengajian, khutbah dan akhbar.

“Disebabkan media ini semakin diminati dan mempunyai pengaruh tersendiri, maka adalah wajar bagi saya menggunakannya untuk menyampaikan pandangan-pandangan berkaitan keagamaan.”

Ustaz Haniff, yang kini bertugas sebagai pengkaji di S. Rajaratnam School of International Studies di Universiti Teknologi Nanyang, turut menegur “suara-suara sumbang” yang mempertikaikan keupayaan asatizah tempatan yang menghasilkan blog untuk menari perhatian umum.

“Menghadapi perkara ini adalah asam garam dalam berdakwah. Nabi Muhammad s.a.w dahulu pun pernah dicerca ketika menegakkan agama Allah. Tapi janganlah ia dijadikan batu hambatan yang melemahkan semangat kita untuk berdakwah. Apatah lagi melalui internet atau blog.”

USTAZ SAIFURRAHMAN
[
http://thehoopoesodyssey.blogspot.com/]

Tidak seperti Ustaz Yusri dan Ustaz Haniff, Ustaz Saifurrahman termasuk antara beberapa asatizah bloggers yang tidak ingin diri mereka dikenali secara terbuka melalui blog masing-masing.

Beliau yang kini bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat, lebih selesa jika beliau tidak dikenali umum.

“Ini semua bergantung kepada para pengunjung blog itu sendiri. Ada yang lebih serasi dengan blog-blog yang lebih kreatif, yang padat dengan gambar-gambar peribadi. Tapi tidak bagi diri saya. Yang menjadi keutamaan bagi saya ialah karya saya dapat diterima oleh para pengunjung dengan hati yang terbuka,” jelas Ustaz Saifurrahman.

“Mesej yang ingin saya sampaikan menerusi blog lebih kepada konsep global. Atas sebab itu, ramai pengunjung yang mengunjungi ke blog saya datang dari pelbagai negara dan benua.

“Saya amat teruja dengan perkembangan ini,” kata beliau yang lebih selesa menulis blognya dalam bahasa Inggeris.

Ustaz Saifurrahman, yang sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengurus di Mahkamat Syariah sebelum ke Amerika Syarikat, turut mengharapkan agar masyarakat Melayu/Islam dapat menerima perkembangan terbaru ini dengan hati yang terbuka.

“Apa yang penting, kita menunjukkan keselesaan dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim di dalam sebuah masyarakat yang majmuk, serta dapat berinteraksi dengan lebih efektif, biarpun kita bukanlah dari golongan majoriti di Singapura,” jelas Ustaz Saifurrahman mengakhiri perbualan.

Dengan wujudnya blog-blog para asatizah kita, tidak mustahil sekiranya lebih ramai lagi ustaz dan ustazah akan mengadakan blog sendiri untuk mendekati masyarakat umum.

Kunjungi blog mereka dan buatlah penilaian anda sendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s