BH [7 Mei 11]: Utamakan Famili


Fauzie Laily takut kecewakan orang

Oleh Mohd Naser Ahmad

NAMA beliau mula dikenali setelah dinobatkan sebagai Naib Juara di Pertandingan Anugerah anjuran MediaCorp Suria, enam tahun lalu.

Bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, malah Artis Lelaki Paling Popular di Pesta Perdana baru-baru ini juga telah mula mencipta nama sebagai pengacara dan pelakon, sebaris dengan nama-nama hebat yang telah lama berkecimpung dalam dunia seni hiburan setempat.

Fauzie Laily, 26 tahun, merupakan bakat 3-dalam-1 yang tidak pernah berasa dirinya terbaik. Memiliki sifat peramah dan rendah hati, tidak hairanlah sekiranya pemuda kacak dan tinggi lampai ini menjadi idaman gadis-gadis yang meminatinya.

Sejak dua minggu lalu, Fauzie Laily muncul sekali lagi sebagai hos Anugerah 2011 di samping Huda Ali dan Nity Baizura. Penulis berkesempatan bertemu dan bersembang dengan beliau.

Ikuti temubual bersamanya.

Soalan (S): Dulu anda peserta Anugerah 2005, kini dah jadi hos pula. Apa yang berlegar di fikiran anda melihat peserta tahun ini?

Jawapan (J): Saya cukup faham dengan apa yang dirasakan oleh para peserta sewaktu berada di pentas, memandangkan saya pernah melalui apa yang sedang mereka lalui sekarang. Perasaan gementar akan sentiasa ada. Persiapan rapi dari segi pembahagian masa untuk berlatih amatlah penting, dan ini merupakan ujian paling getir bagi setiap peserta. Bukan mudah sebenarnya masuk pertandingan nyanyian seperti Anugerah.

S: Sejauh mana anda rasa pertandingan ini telah merubah hidup anda?

J: Pertandingan ini telah membuka pintu bagi saya untuk melakukan perkara yang amat saya cintai iaitu menyanyi. Walaupun saya telah diberi kesempatan lain untuk mengacara dan berlakon, saya suka dengan apa yang saya lakukan.

S: Apa tekanan yang anda hadapi sebagai artis?

J: Secara jujur, cabaran utama artis tempatan sepenuh masa ialah ketiadaan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Saya sedar CPF amatlah penting untuk masa depan kita sebagai rakyat Singapura. Oleh yang demikian, saya harus peka dan bijak menguruskan soal wang. Saya tetap bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberi galakan dan dorongan untuk saya teruskan kerjaya ini sepenuh masa.

S: Anda dikenalkan menerusi pertandingan menyanyi tetapi kini lebih menyerlah sebagai hos dan pelakon. Apakah anda rasa anda masuk ke pertandingan salah?

J: Rasanya saya tidak salah memasuki pertandingan. Pada saya, ini semua soal rezeki. Saya pun tidak pernah menjangka saya akan diberi peluang menjadi pengacara dan pelakon. Ramai sedia maklum bahawa untuk menjadi penyanyi sepenuh masa di sini agak sukar dan undangan untuk persembahan nyanyian juga terhad. Oleh kerana itu, saya cuba menjadi artis yang versatil dengan menceburkan diri dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

S: Sebagai hos, apa persiapan yang anda lakukan sebelum berdepan dengan orang ramai?

J: Dalam apa juga kerja yang saya lakukan, baik sebagai hos, penyanyi mahupun pelakon, saya akan lebih dahulu membuat ‘homework’ seperti menonton semula program yang melibatkan saya sebelum ini. Dengan cara ini, saya dapat memperbaiki kesilapan dan kelemahan yang ada, selain meningkatkan lagi mutu persembahan saya untuk acara yang akan saya hadiri pada masa akan datang.

S: Saya dengar anda dah beberapa kali putus cinta. Apakah susah menjaga hubungan sebagai selebriti?

J: (Ketawa besar). Isy! Beberapa kali putus cinta? Tidaklah. Terakhir kali saya putus cinta ialah lima tahun lalu. Saya akui sebagai artis, saya adalah public figure. Apa pun yang saya lakukan akan menjadi bualan orang. Perkara yang tidak pernah saya lakukan juga menjadi bahan percakapan orang. Sebagai seorang selebriti, untuk menjalinkan hubungan cinta dengan seseorang, kededuanya harus ada sikap saling percaya antara satu sama lain.

S: Apa keutamaan anda dalam hidup?

J: Keutamaan saya adalah keluarga dan juga keluarga sendiri yang bakal saya bina tidak lama lagi.

S: Apa yang ingin anda capai tetapi belum kesampaian?

J: Sebagai seorang artis, saya ingin melebarkan sayap ke seberang Tambak. Setelah enam tahun berkecimpung dalam dunia seni tempatan, saya rasa sudah tiba masanya saya mengorak langkah seterusnya untuk mencuba nasib di negara orang. Saya amat kagum dengan pencapaian artis setempat seperti Aaron Aziz dan Adi Putra. Mereka bukan sahaja dikenali kerana rupa, tetapi bakat yang ditonjolkan mereka. Mudah-mudahan impian saya ini akan tercapai suatu hari nanti.

S: Perkara yang anda geruni dalam bidang hiburan?

J: Saya takut kalau kecewakan orang. Kadang-kadang tanpa saya sedari, saya telah melakukan kesilapan yang besar walaupun pada mata orang lain, kesilapan yang saya lakukan adakah kecil. Saya selalu mengharapkan yang terbaik dan saya cuba kotakan janji saya. Mereka yang mengenali saya dengan rapat pasti tahu bahawa saya mudah berasa kecewa sekiranya saya rasa tidak puas hati dengan apa yang telah saya lakukan.

S: Apa nasihat anda kepada para peserta Anugerah tahun ini?

J: Nasihat saya pada mereka ialah perbanyakkan membuat ‘homework’. Saksikan American Idol kerana pertandingan realiti seperti ini tidak semudah yang ramai sangkakan. Kejayaan tidak berlaku dalam sekelip mata. Jika mereka ikhlas untuk berada dalam industri ini lebih lama, mereka harus sanggup bekerja keras tanpa henti dan terus mempertingkatkan diri dari masa ke masa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s