PENGALAMAN lalu banyak mendewasakannya. Kalau dulu pelakon Era Farida yang terkenal dengan panggilan Fid mudah lepas cakap untuk meluahkan apa saja yang terbuku dalam hatinya, kini Fid lebih berhati-hati, biarpun terpaksa menghadapi sesetengah pihak yang amat ‘menduga’ kesabarannya.
Sifat semula jadi Fid yang kelakar dan bersahaja tidak menunjukkan betapa beliau sudah jemu dengan kerenah dan telatah orang di sekelilingnya yang ada kalanya boleh menyeksa jiwa.
‘Fid sebenarnya sudah malas hendak fikirkan tentang hal yang pernah berlaku dulu. Kehidupan harus diteruskan. Buat apalah hendak berdendam dengan orang. Bukankah dunia seni di Singapura ini terlalu kecil? Esok lusa kita bertembung dengan orang yang sama juga,’ jelas Fid dengan nada serius.
Namun begitu, menurut Fid lagi, beliau tidak akan mudah terpedaya dengan tipu helah mereka yang ingin cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Sambung Fid lagi: ‘Fid harap selepas ini tidak ada orang yang ingin cuba mengambil kesempatan terhadap apa yang pernah berlaku pada diri Fid. Pengalaman lalu telah banyak mengajar Fid tentang erti kehidupan.’
Fid, yang sudah lebih 23 tahun berkecimpung dalam dunia seni, turut mengalu-alukan kedatangan para pelakon generasi baru untuk mewarnai lagi drama Melayu tempatan.
Bagaimanapun, jelas Fid, beliau amat mengharapkan agar pelakon baru tidak menggunakan dunia lakonan sebagai batu loncatan semata-mata untuk mengejar populariti, dan bukan kerana minat yang mendalam serta menghargai seni lakon itu sendiri.
‘Populariti dan kualiti adalah dua perkara yang berbeza. Kalau tidak ada kualiti, sukar untuk kita mencapai tahap populariti. Itulah yang harus ada dalam diri pelakon baru kita dan juga mereka yang ingin terjun ke bidang seni.
‘Alhamdulillah, Fid masih terus diminati walaupun sekarang Fid jarang sekali muncul dalam watak utama bagi sesebuah drama. Ini menunjukkan bahawa peminat menghargai apa yang Fid buat selama ini,’ ujar Fid penuh syukur.
Fid, 45 tahun, mempunyai hasrat yang masih belum tercapai selama menjadi seorang anak seni. Sejak dari dulu lagi, beliau teringin sekali untuk bekerja di belakang tabir dalam penerbitan sesebuah drama atau filem.
‘Ramai yang bertanyakan pada Fid, bila nak jadi produser? Takkan nak berlakon dan mengacara sampai ke tua… Bila orang asyik bertanya, Fid teringin juga hendak mencuba.
‘Tapi, sayanglah. Belum ada rezeki agaknya. Mungkin selepas ini ada orang kaya di luar sana yang sudi nak menaja Fid. Takkan Fid nak tolak rezeki kan?’ seloroh pengacara 60-an Gerek ini penuh selamba.
Selama menjadi seorang pelakon, tidak sedikit pun terlintas di hati kecil Fid untuk memulakan sebarang perniagaan, biarpun sekadar kecil-kecilan sahaja.
Dan untuk membuktikan kebolehan beliau dalam bidang perniagaan, Fid telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bersama beberapa rakan terdekatnya.
‘Idea untuk berniaga ini tercetus sewaktu Fid berada di Kuala Lumpur. Fid tidak sangka sama sekali dapat berkongsi butik dengan rakan baik Fid iaitu Anjani, Suriati dan Mat Nor dari Anjani’s Wedding,’ terang Fid.
Menurut Fid lagi, beliau turut mengiklankan butik serta produk yang dijualnya di laman sosial Facebook sebagai wadah untuk memperkenalkan dirinya serta produk yang terdapat di butik tersebut.
‘Fid bersyukur dengan sambutan yang ditunjukkan oleh peminat Fid di Facebook. Selain memperkenalkan khidmat perkahwinan yang dikendalikan oleh Anjani, Fid juga turut memasarkan barangan aksesori wanita yang diimport dari negara luar seperti loket, rantai dan sebagainya. Ada juga aksesori rekaan dan buatan Fid sendiri,’ sambung Fid dengan penuh ceria.
Memandangkan Fid kini sibuk dengan bidang perniagaan aksesorinya, mungkinkah kemunculan Fid di kaca televisyen akan berkurangan pada masa akan datang?
Menjawab pertanyaan tersebut, Fid menjelaskan: ‘Dunia lakonan memang sudah sebati dengan jiwa Fid dan ia merupakan periuk nasi Fid selama lebih 23 tahun. Insya-Allah, selagi peminat inginkan Fid terus berlakon, Fid akan cuba untuk tidak menghampakan harapan mereka.’
Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang, Fid amat mengalu-alukan kehadiran peminat untuk berkunjung ke butiknya.
‘Rasanya, tidak ada peluang yang lebih baik bagi peminat selain bertemu Fid secara peribadi di butik. Sekurang-kurangnya, Fid dapat beramah mesra dan berkenalan dengan peminat tersayang,’ ujar Fid tersenyum manja sambil menghirup kopi yang terhidang di atas meja.