Raffi Khan cuba nasib di seberang Tambak

Oleh Mohd Naser Ahmad
KAYA dengan pengalaman tidak menjaminkan kepuasan bagi pelakon Raffi Khan.
Walaupun telah menceburkan diri dalam bidang seni setempat selama hampir 30 tahun, pelakon yang sentiasa tampak segak ini masih merasakan dirinya terpinggir dan tidak dihargai.
Raffi, yang ditemui baru-baru ini, berkata beliau amat terkilan dengan nasib yang menimpa sebilangan pelakon lama sepertinya yang kini kurang mendapat perhatian setelah kemunculan muka-muka baru.
Bahkan beliau juga merasakan penerbit drama setempat seperti telah mengabaikan pelakon-pelakon yang berpengalaman yang pernah menyumbang idea dan tenaga dalam dunia seni tempatan selama ini.
‘Saya bukan marah atau sengaja mencari alasan, tapi saya akui ada beberapa produksi tempatan yang hanya memberi tumpuan pada pelakon-pelakon baru dan tertentu sahaja. Sukar rasanya bagi pelakon senior muncul dalam produksi mereka,’ keluhnya.
Beliau, yang telah berlakon dalam lebih 50 drama terbitan tempatan dan seberang Tambak, tidak menafikan bahawa pelakon muda yang dicungkil bakat menerusi pertandingan yang dianjurkan MediaCorp Suria, telah memberi nafas baru kepada dunia seni tempatan.
‘Walaupun saya perhatikan masih ada lagi kekurangan dalam mutu persembahan mereka, kehadiran muka-muka baru ini sedikit sebanyak dapat memeriahkan lagi industri lakonan setempat,’ ujarnya, yang menamakan Fadhlur Rahman sebagai pelakon yang berbakat besar.
Walaupun pada hakikatnya sukar bagi pelakon sepenuh masa seperti beliau meneruskan perjuangannya di negara sendiri, Raffi tetap tidak berputus asa dalam menyumbangkan bakatnya walau sekecil manapun watak yang ditawarkan penerbit drama setempat.
Menceritakan pengalamannya sepanjang bergelar anak seni, beliau akui pernah menerima tawaran berlakon semata-mata kerana watak yang disandang oleh pelakon tertentu tidak menepati jangkaan dan cita rasa pengarah.
‘Saya hanya diperlukan pada saat-saat akhir apabila salah seorang pelakon tidak dapat meneruskan penggambaran atau ada alasan tertentu yang boleh menjejas jalan cerita sesebuah drama.
‘Terus terang saya katakan, saya sudah tawar hati dengan sikap berat sebelah dan ketidakadilan mereka,’ tambahnya lagi.
Dianaktirikan oleh beberapa produksi tempatan bagaikan sudah sebati dalam diri beliau. Oleh kerana terlalu hampa dan kecewa dengan layanan yang diberikan, bapa kepada tiga orang anak ini telah mengambil keputusan untuk melebarkan sayapnya ke seberang Tambak untuk mencuba nasib.
Ibarat rezeki datang bergolek, beliau tidak sangka diberi peluang untuk muncul dalam sebuah filem seram arahan Mohamad Jamil Zulkifli (M. Jamil), Momok Jangan Panggil Aku, yang bakal ditayangkan di seluruh Malaysia pada 5 Mei nanti, yang juga turut menampilkan Arif S. Samsudin sebagai pelakon utama.
‘Alhamdulillah, saya rasa amat bersyukur kerana M. Jamil telah memberi peluang kepada saya untuk berlakon dalam filem sekuel beliau. Walaupun 800 peserta hadir untuk sesi uji bakat, saya telah dipilih untuk menjayakan filem tersebut,’ ujarnya.
Dalam filem terbitan Galaksi Seni Sdn Bhd ini, Raffi memegang dua watak yang berbeza di samping pelakon Zarina Zainudin. Lebih mencabar apabila wataknya bertukar menjadi hantu raya dalam sebuah babak seram dalam filem tersebut.
‘Peranan yang diberikan kepada saya sebagai hantu raya memang menduga kemampuan saya sebagai seorang pelakon.
‘Kalau penonton hendak tahu kenapa saya sudah serik hendak makan ayam, tontonlah filem itu nanti,’ seloroh pengasas kelab ‘memburu hantu’, Seekers.sg ini lagi.
Selain filem Momok Jangan Panggil Aku, Raffi juga turut terlibat dalam telefilem Empayar, keluaran produksi setempat, Ace Pictures, yang dilancarkan tidak lama lagi.
