BH [4 Jun 11]: Perjalanan Baru Bermula


Pusingan ‘Wildcard’ tonjolkan kehebatan peserta Anugerah 2011

Oleh Mohd Naser Ahmad

BAKAT nyanyian dan pengacaraan digilap sudah.

Gerak tari dalam setiap persembahan berkumpulan digarap indah. Yang berjaya tersenyum bangga, yang tewas pula membawa hati yang lara. Apa yang nyata, perjalanan mereka baru sahaja bermula.

Anugerah 2011 belum lagi sampai ke kemuncaknya. Namun, pelbagai andaian sudah mula singgah ke cuping telinga penulis tentang siapakah yang bakal merebut gelaran juara.

Walaupun persaingan bertambah sengit setiap minggu, keputusan muktamad para pengadil untuk menempatkan Ace, 25 tahun; Erlina, 16 tahun; Epul, 25 tahun; dan Shikin, 20 tahun, di peringkat separuh akhir tidak perlu dipersoalkan.

Namun begitu, buat enam peserta peringkat suku akhir yang kecundang pula, peluang beradu nasib agar terpilih untuk mara ke peringkat seterusnya belum bernoktah setakat itu.

Pusingan ‘Wildcard’ yang berlangsung Selasa lalu telah membuka ruang buat Rahayu Ridwan, 20 tahun; Baby Sulastri, 16 tahun; Syazani, 18 tahun; Norul, 21 tahun; Firdaus Haridan, 24 tahun; dan Shalyza, 17 tahun, untuk menambat hati para pengadil tetap – Eddy Ali, Ann Hussein dan Sheikh Haikel – serta komposer dan penyanyi dari Malaysia, Ajai, yang turut diundang sebagai pengadil jemputan.

Walaupun persembahan yang ditampilkan agak ringkas, para peserta ‘Wildcard’ mampu menonjolkan kehebatan masing-masing walau perasaan gementar jelas terpancar di wajah mereka.

Ini turut diakui Sulastri, atau mesra dengan panggilan Baby Sulastri, dan Rahayu, seorang penyambut tamu, yang sama-sama terpilih mara ke peringkat separuh akhir.

‘Entah mengapa tiba-tiba Baby berasa gerun ketika membuat persembahan. Mungkin kerana abang Ajai hadir pada malam itu agaknya.

‘Biarpun gementar, Baby rasa bersyukur kerana berjaya juga memikat hati para pengadil untuk melangkah ke pusingan seterusnya,’ ujar beliau yang membawakan lagu Langit Ke-7 yang pernah dipopularkan oleh Sharifah Zarina.

Ace, atau nama sebenarnya Mohd Iskandar Mohd Ariffin, pula berkata kejayaan beliau mara ke peringkat separuh akhir merupakan sesuatu yang di luar jangkaan.

Walaupun bukan daripada peserta ‘Wildcard’, beliau berasa teruja kerana selain sokongan padu para peminat yang riuh-rendah setiap kali beliau tampil membuat persembahan, kegigihan serta usahanya selama beberapa minggu ini telah membuahkan hasil.

‘Terkejut dan lidah kelu untuk berkata-kata. Itulah yang saya rasa apabila nama saya diumumkan sebagai salah seorang peserta yang berjaya ke peringkat separuh akhir.

‘Memandangkan saya telah diberi kepercayaan terus berada di gelanggang pertandingan ini, saya akan cuba lakukan yang lebih baik di pusingan piano pada minggu depan,’ ujar pemuda yang bertugas sebagai pegawai polis (Aetos) ini.

Sementara itu, Siti Norulhuda atau Norul, peserta favorit yang sering menerima usikan nakal pengadil Eddy Ali, pula menganggap kekalahannya pada malam itu bukanlah hambatan bagi beliau terus menyumbang dan berkongsi bakat walaupun tidak lagi bertanding.

‘Saya akui berasa kecewa dan sedih kerana tidak berjaya ke peringkat selanjutnya.

‘Tetapi itu bukan bermakna saya putus asa dan gagal buat selama-lamanya. Mana tahu, saya ada rezeki sebagai pengacara pula,’ selorohnya.

Peringkat Separuh Akhir Anugerah 2011 (Pusingan Piano) akan disiarkan pada Selasa ini, 8.30 malam, di saluran Suria.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s