BH [30 Apr 11]: Dugaan Artis Baru


Oleh Mohd Naser Ahmad

USIANYA baru menjangkau 19 tahun. Namun, bekas finalis Top 5 Pertandingan Anugerah 2009 anjuran MediaCorp Suria ini mampu tersenyum bangga kerana akhirnya beliau berjaya menghasilkan single pertama, Kasih Belum Termiliki, pada penghujung tahun lalu.

Dalam kecenderungannya mencapai cita-cita dan impian, tersemat juga rasa terkilan di hati kerana beliau terpaksa menempuh onak dan duri sebagai artis baru, yang cuba menempah nama di tanah air sendiri.

Hydir Idris, yang pernah dicap peminat sebagai ‘Michael Buble Singapura’, masih mengharapkan lagu terbarunya diputarkan di corong-corong radio tempatan sebelum beliau mengembangkan bakatnya ke seberang Tambak.

‘Saya terpaksa akur dengan hakikat bahawa saya masih lagi baru dalam industri seni suara tempatan. Namun, saya sangat mengharapkan sokongan padu peminat dan media tempatan agar saya dapat meneruskan kegiatan seni suara saya ini sampai bila-bila,’ ujar beliau, yang pernah diberi kesempatan membintangi drama bersiri Ratna di saluran Suria tahun lalu.

Menurut Hydir, sehingga kini, single terbarunya belum lagi dimainkan di radio. Beliau sendiri kurang pasti mengapa ia masih tertangguh sedangkan ramai peminatnya berterusan membuat permintaan lagu berentak ballad hasil ciptaan komposer Malaysia, Hafiz Hamidun, dan lirik nukilan AD Samad.

‘Sebenarnya saya agak terkilan dengan keadaan ini. Ramai juga peminat yang bertanyakan tentang hal ini di Facebook. Entahlah, saya hanya mampu berdiam diri kerana saya juga sedang mencari jawapannya,’ jelasnya penuh hampa.

Walaupun beliau sedar pasaran muzik Melayu setempat agak lembap, ditambah pula dengan kemunculan ramai lagi bakat baru yang semakin menyerlah, Hydir tidak merasakan dirinya tersisih kerana beliau masih banyak menerima undangan nyanyian di majlis-majlis korporat dan makan malam.

‘Selagi minat menyanyi masih kental dalam jiwa, saya tidak akan berputus asa jika saya terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan.

‘Apa yang harus saya lakukan sekarang ialah bekerja keras dan kekalkan sifat merendah diri,’ tambahnya yang tidak lokek senyuman sepanjang ditemu ramah.

Rancangan masa depan

Sungguhpun beliau masih menyimpan hasrat untuk menghasilkan album penuh pada masa akan datang, Hydir juga gigih mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai kemungkinan sekiranya beliau tidak mampu kekal lama dalam bidang nyanyian.

Sebagai penuntut sepenuh masa di Maktab Seni LaSalle dalam kursus asas Muzik Popular, beliau turut mempelajari teknik pengawalan vokal dengan juruvokal terkenal, Cik Babes Conde, selain kursus-kursus lain berkaitan muzik.

‘Bukan mudah sebenarnya menjadi seorang penyanyi. Banyak teknik vokal yang harus saya pelajari dan ikuti semasa membuat persembahan.

‘Insya-Allah, sekiranya saya tidak lagi menyanyi atau merakamkan album pada masa hadapan, saya ingin terus melakukan kerja-kerja di belakang tabir sebagai juru vokal,’ tambahnya yang menjadikan penyanyi Imran Ajmain sebagai sumber inspirasi.

Persembahan sulung di Kuala Lumpur

Sebagai langkah permulaan memperkenalkan dirinya di seberang Tambak, Hydir telah diundang buat pertama kalinya untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur di samping penyanyi terkenal, Ramlah Ram, Zaiton Sameon dan Azmir Arif untuk acara sempena Hari Ibu, Rindu Ibu Bersama, anjuran U-MeDia Sdn Bhd di Hotel Ancasa, bulan depan.

Menyedari bahawa peluang keemasan untuk bergandingan dengan artis berpengalaman seperti Ramlah tidak mampu beliau tolak, Hydir berharap acara ini dapat meluaskan lagi pengalaman serta mengembangkan bakat nyanyiannya.

‘Walaupun saya rasa agak gementar, persembahan di Kuala Lumpur nanti bakal menjadi kenangan yang paling manis dalam sejarah hidup saya sebagai seorang penyanyi.’ ujarnya ceria.

3 comments on “BH [30 Apr 11]: Dugaan Artis Baru

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s