RAUT wajahnya yang tampan bisa membuat ramai peminat wanita ingin sekali mendampinginya. Bahkan, tarikan vokalnya membawakan apa juga rentak lagu pasti membuai perasaan mereka yang dilamun cinta.
Namun, di sebalik apa yang dimiliki Mohd Azmira Mohd Arif, atau lebih dikenali sebagai Azmir Arif, beliau tetap berasa janggal apabila berdepan dengan penonton setiap kali membuat persembahan.
Azmir, 27 tahun, yang sempat ditemui sempena acara pertandingan akhir Bintang Emas Karaoke di Dewan Singgahsana, Kampung Melayu Geylang Serai, baru-baru ini, mengakui, kekurangan yang ada pada dirinya tidak pernah sekali pun mematahkan semangat untuk terus mewarnai industri muzik di Malaysia mahupun di Singapura.
‘Mir akui, suara Mir sengau apabila bercakap. Memang ramai yang terkejut apabila Mir membuka mulut untuk berbicara. Tapi, itu bukan bermakna Mir akan terus berdiam diri dan tidak berkomunikasi langsung dengan penonton,’ ujar Azmir.
Jelasnya lagi, beliau sedar akan kekurangannya itu (bersuara sengau apabila bertutur). Namun, beliau tidak boleh berterusan melihatnya sebagai suatu kelemahan, tetapi sebaliknya menganggap ia sebagai anugerah daripada Tuhan.
‘Pada mulanya Mir sendiri was-was dan tidak yakin dengan bakat yang Mir ada. Namun, berkat kepercayaan dan sokongan yang ditunjukkan oleh keluarga dan kawan-kawan, Mir nekad meneruskan langkah demi langkah merealisasikan impian Mir untuk menjadi seorang penyanyi,’ jelas Azmir penuh yakin.
PROGRAM REALITI
Mengimbas perjalanan seninya, Azmir mula bertapak dalam industri muzik selepas menyertai program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua, terbitan TV8 (Malaysia). Walaupun perasaan bimbang menyelaputi dirinya, dorongan dan sokongan yang diberikan oleh keluarga serta rakan-rakan terdekat, menguatkan semangatnya untuk bersaing walaupun beliau sedar ia bakal menimbulkan banyak spekulasi.
‘Sewaktu mula-mula Mir menyertai OIAM dulu, Mir kerap dipandang sinis oleh sesetengah pihak. Mereka sangsi akan kebolehan Mir menyanyi selepas mendengar Mir bercakap.
‘Mir pun khuatir kalau-kalau ditertawakan dan tidak diterima kerana kelemahan Mir.
‘Namun, sangkaan Mir meleset sama sekali apabila Mir berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 20. Ini membuktikan Mir mampu bersaing dengan orang lain walaupun dalam serba kekurangan,’ jelasnya merendah diri.
Beberapa kejayaan yang pernah diraih Azmir sebelum ini turut membuktikan bahawa beliau sememangnya berbakat besar dalam bidang seni suara. Masakan tidak, selain menyertai OIAM, beliau juga pernah menyandang gelaran juara Bintang Irama Malaysia di Pulau Pinang dan meraih anugerah Persembahan Terbaik serta dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Nyanyian Putera-Puteri Umno di Kuala Lumpur tidak lama dulu.
ALBUM ‘KURNIAAN’
Azmir, yang dilahirkan di Pulau Pinang dan kini menetap di Kuala Lumpur, pada mulanya tidak termimpi untuk menjadi seorang artis rakaman. Album Kurniaan yang dilancarkan pada lewat tahun lalu, membuktikan kesungguhan serta keikhlasan beliau untuk mengetengahkan bakat semula jadi yang ada pada dirinya berbaloi dan tidak dipersiakan.
‘Mir amat berterima kasih pada komposer abang Adnan Abu Hassan atas kepercayaan yang diberikan kepada Mir. Beliau tidak pandang langsung kelemahan yang ada pada diri Mir. Tapi sebaliknya, beliau utamakan vokal semasa nyanyian. Mir sangat terharu dengan kesanggupan Abang Adnan menerbitkan sebuah lagu buat Mir,’ ujar Azmir, ceria.
Kurniaan memuatkan 10 lagu termasuk empat lagu dalam bentuk minus one. Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini ialah Cinta Jasmin, Maafkan Aku, Bila Kau Jauh, Misteri Cinta Sakti, Zapin Kelana dan Cinta Jasmin (Remix).
Buat masa ini, Azmir juga sedang giat berusaha menghasilkan album Kurniaan (Repackaged) dengan menampilkan dua lagu baru, di mana beliau berduet dengan penyanyi Singapura, Wiwik, untuk lagu Ketika Kasih Menyapa.
‘Album sulung ini merupakan titik peluh Mir sebagai seorang penyanyi,’ ujar Azmir, penuh mengharap.
Menyentuh tentang pengurusan artis pula, Azmir menerangkan bahawa beliau tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman setakat ini. Sebaliknya, segala pertunjukan pentas diuruskan dan diselenggarakan oleh Encik Aiman Amani dari KrisMedia Pte Ltd, sebuah syarikat milik anak watan Singapura.
PEMINAT SINGAPURA
Sementara itu, Azmir mengakui amat kagum dan terharu dengan sambutan peminat di Singapura. Malah, Azmir tidak sangka sama sekali, peminat di sini sungguh peramah dan selesa apabila berinteraksi dengan beliau.
‘Sewaktu Mir mula-mula membuat persembahan di Singapura, Mir gugup. Takut-takut kalau Mir diperkatakan seperti sebelum ini. Tapi, ternyata peminat di sini amat jauh berbeza daripada peminat di Malaysia. Peminat di Singapura sporting dan Mir amat terharu dengan sambutan yang diberikan,’ ujar Azmir penuh syukur.
Apabila ditanya siapakah barisan artis Singapura yang dikenalinya, Azmir menyebut Imran Ajmain, Hady Mirza, Maiya Rahman dan Fauzie Laily, sebagai antara artis tempatan yang disukai dan pernah membuat persembahan dengannya.
‘Singapura mempunyai ramai penyanyi berbakat besar. Bagaimanapun, Mir ingin sekali berduet dengan Idola Singapura, Taufik Batisah,’ ujarnya, mengakhiri perbualan.