BH [27 Mei 09]: Hubungan S’pura-M’sia Buka Lembaran Baru


PM Najib Tun Razak dan PM Lee Hsien Loong.

KUNJUNGAN Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, ke Singapura minggu lalu telah membuka lembaran baru dalam soal hubungan dua hala antara republik ini dengan Malaysia.

Selama ini hubungan kedua-dua buah negara itu mengalami kegenjotan, khususnya semasa Malaysia di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa isu belum lagi dihuraikan termasuk perjanjian bekalan air, isu jambatan bengkok dan sebagainya.

Namun, di sebalik permasalahan itu, Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, telah memberi jaminan kepada rakan sejawatannya, Datuk Seri Najib, bahawa hubungan baik antara kededua negara mesti ditangani sebaik mungkin tanpa mengambil masa 18 tahun lagi bagi penyelesaian isu-isu yang tergantung.

Kira-kira 10 tahun lalu, saya pernah menulis ke akhbar ini mengulas hubungan Singapura dengan Malaysia selepas Tun Mahathir ketika itu melancarkan Multi-Media Super Corridor (MSC) di Kuala Lumpur.

Saya mempersoalkan sama ada Singapura mampu mengekalkan kredibilitinya sebagai sebuah negara maju sebaik sahaja MSC dilancarkan.

Namun, di sebalik kejayaan demi kejayaan yang dikecapi negara itu, hubungan Malaysia dengan Singapura masih tidak juga menunjukkan reaksi positif. Malah, ia semakin keruh dan terus bergelumang dengan permasalahan rumit.

Selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan perdana menteri, beliau memutuskan untuk ‘melenyapkan’ rancangan menggantikan Koswe dengan jambatan bengkok.

Ini membangkitkan kemarahan Tun Mahathir.

Walaupun hubungan dua negara itu selalu saja berkocak, hubungan di antara rakyat kededua negara tidak pernah tergugat.

Sebaliknya, semakin ramai rakyat Singapura berkunjung ke negara itu untuk membeli-belah dan bercuti.

Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berkunjung ke republik ini – kurang ambil peduli sama ada Koswe sesak atau terpaksa menggunakan Laluan Kedua di Tuas.

Minggu lalu, Datuk Seri Najib memberi isyarat positif lagi meyakinkan bahawa hubungan Singapura-Malaysia harus melahirkan kesungguhan untuk bergerak ke depan secara ‘produktif’ dan ‘membina’.

Hal ini disambut baik oleh Encik Lee.

Encik Lee juga mengharapkan agar kerjasama yang baik di antara kededua negara, yang turut melibatkan projek pembangunan Iskandar Malaysia, dapat dimanfaatkan bersama dan agar idea-idea yang tercetus untuk mamajukan projek tersebut dapat diperluaskan.

Lawatan Datuk Seri Najib merupakan satu lembaran baru yang harus diteruskan hingga ke generasi selanjutnya.

Naik turunnya hubungan di antara kedua-dua negara ini ibarat putaran roda yang silih berganti mengikut keadaan.

Banyak idea serta pengalaman yang boleh kita kongsi bersama untuk bergerak ke depan demi membangun hubungan jitu dan aman damai.

Merujuk artikel akhbar China Press Malaysia yang disiarkan di Berita Harian Isnin lalu, rencana itu menyentuh kesungguhan Singapura meneroka sumber air yang baru dengan menggunakan proses penyulingan air masin dan menghasilkan AirBaru, jika pada suatu ketika nanti Malaysia benar-benar memotong bekalan air ke republik ini.

Rencana itu selanjutnya menerangkan: siapa tahu satu hari nanti mereka (Singapura) juga boleh menjadi sumber negara kita bagi air yang diproses!

Merumus apa yang telah diperkatakan, kisah hubungan Singapura-Malaysia masih lagi panjang dan tidak akan bernoktah di sini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s