BH [25 Sep 09]: Tahajjud Cinta Siti Nurhaliza


CAKAP apa sahaja jenis dan rentak lagu yang tidak pernah Datuk Siti Nurhaliza rakamkan sejak beliau bergelar penyanyi nombor satu Malaysia.

Tidak sia-sia nama beliau sering meniti di bibir peminat seni suara di seluruh nusantara. Masakan tidak, beliau telah dianugerahkan ‘suara emas’ yang jarang sekali dimiliki oleh penyanyi wanita yang sedia ada.

Sebagai langkah untuk mengembangkan bakat serta mengukuhkan lagi kedudukan beliau di persada seni suara, Datuk Siti Nurhaliza telah melahirkan sebuah album berunsur kerohanian pada ‘tarikh keramat’ 9 September lalu (9.9.09).

Memuatkan lapan buah lagu kesemuanya, Siti berjaya merakamkan album Tahajjud Cinta bagi memenuhi hasratnya yang terpendam selama ini untuk muncul dengan buah tangan terbaru yang berkonsep ketuhanan, selain permintaan para peminat yang tidak putus-putus supaya beliau tampil dengan album sedemikian rupa.

Idea untuk merakamkan album ini tercetus setelah Siti terlibat dalam pementasan teater Sirah Junjungan arahan Erma Fatima di Istana Budaya, Kuala Lumpur, selain menjayakan Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul anjuran stesyen TV3 Malaysia, bersama Kumpulan Rabbani, Amy Search dan Akhil Hayy.

Album Tahajjud Cinta merupakan sebuah album dakwah kontemporari, dan bukanlah sebuah album nasyid sepenuhnya seperti yang kita dengar melalui album beberapa kumpulan nasyid yang sedia ada.

Tidak seperti lagu-lagu yang berentak pop dan tradisional yang pernah dirakamkan oleh Siti sebelum ini, vokal emas penghibur nombor satu ini amat terserlah apabila mendendangkan lagu Asma Ul Husna dan Ya Rasulullah.

Akan terasa kesyahduannya apabila Datuk Siti mengalunkan setiap baris lirik lagu dengan penuh penghayatan berserta dengan lenggok suara merdu beliau yang tersendiri lagi meruntun jiwa!

Memandangkan industri muzik Malaysia ketandusan penyanyi wanita yang mampu merakamkan lagu-lagu seumpama ini, tidak mustahil sekiranya Siti Nurhaliza beralih kepada konsep album berbentuk kerohanian bagi album-album beliau yang bakal menyusul pada masa hadapan.

Album yang diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (SNP) dengan kerjasama Suria Records ini turut memuatkan dua lagu yang pernah terkandung dalam album runut bagi filem Indonesia, Perempuan Berkalong Sorban, iaitu Batasku Asaku dan Ketika Cinta.

Selain lagu ciptaan terbaru Erma Fatima (Tahajjud Cinta) yang dijadikan sebagai tajuk album, ia juga memuatkan lagu Ku Percaya Ada Cinta, Selawat dan Pintu Rindu.

Menggunakan khidmat Eddie Marzuki, Audi Mok, Tya Subiakto serta Datuk Siti sendiri sebagai penerbit album, tidak rugi rasanya anda memiliki salah sebuah album terbaik penyanyi berdagu lekuk ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s