BH [25 Feb 10]: Sokongan Ampuh


LAZIMNYA penyanyi ternama dari seberang Tambak sering menjadi daya tarikan dalam penganjuran sesebuah konsert yang berlangsung di sini. Namun, suasana yang berlaku di panggung Teater Pusat Budaya Politeknik Republic pada Ahad lalu membuktikan bahawa penyanyi tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan artis dari luar negeri.

Dengan barisan penghibur mapan Singapura seperti Didicazli, Zaibaktian, Hady Mirza dan Taufik Batisah, dewan yang dipenuhi kira-kira 1,200 penonton itu berjaya digegarkan dengan sorakan dan tepukan gemuruh setiap kali penyanyi idola mereka muncul untuk membuat persembahan.

Semarak konsert gilang-gemilang Big Bash yang berlangsung sempena ulang tahun stesen radio Ria 89.7FM yang ke-20 itu turut menampilkan Nana, The Lions Story dan kumpulan Sambateria.

Sepanjang konsert pada malam itu juga, Ria turut mengumumkan Carta Top 20 berdasarkan lagu-lagu popular permintaan pendengar yang diputarkan stesen tersebut sejak 20 tahun lalu.

Bagai mengimbas kenangan lama, bekas deejay-deejay Ria seperti Zarina Safuan, Taha Galib (TG), Azmi Sempoi, Suriani Kassim (SK) dan Zan Sofyan turut hadir memberikan sokongan dalam acara pada malam itu. Bahkan SK turut berduet dengan TG untuk lagu Dua Insan. Ternyata persembahan mereka mendapat sambutan ramai.

Suasana dewan menjadi gamat seketika sewaktu Didicazli mendendangkan lagu Kekasih Awal Dan Akhir yang pernah dipopularkan oleh Jamal Abdillah. Masakan tidak, Didi sanggup turun pentas untuk menghadiahkan sejambak bunga kepada Cik Zakiah Halim, Naib Presiden Ehwal Rancangan Melayu/India (Radio), yang turut hadir pada malam itu.

Persembahan Hady Mirza sangat dinantikan peminat. Beliau mendendangkan lagu “Merpati” dan “Angkasa”.

Seperti yang dijangkakan, kemunculan Hady Mirza memang amat dinanti-nantikan ramai. Mempersembahkan dua buah lagu popularnya – Merpati dan Angkasa, Hady berjaya menambat hati para penonton dengan vokalnya yang cukup mantap dan bertenaga.

Tidak hairanlah sekiranya suatu hari nanti, Hady berjaya menawan seluruh nusantara sebagai Idola Asia yang dapat dibanggakan masyarakat tempatan.

‘Saya amat terharu dengan sambutan yang diberikan penonton pada malam ini, dan insya-Allah, saya akan lakukan yang lebih baik demi peminat dalam persembahan saya yang akan datang,’ ujar Hady penuh yakin sebaik sahaja selesai membuat persembahan.

Dewan yang pada mulanya terang-benderang digelapkan secara mendadak sebagai petanda menyambut ketibaan sebutir bintang yang bergemerlapan.

Penonton bersorak kegembiraan sebaik saja intro untuk lagu Usah Lepaskan dendangan Taufik Batisah bergema di dalam dewan. Tapi apakan daya, sangkaan mereka meleset sama sekali apabila DJ RZ yang tampil mendendangkan lagu tersebut.

Dalam keghairahan penonton menantikan kemunculan Taufik yang sebenar, gimik bagi mengumumkan juara carta Ria Top 20 itu memang menjadi. Sebaik sahaja kelibat idola pertama Singapura itu kelihatan di atas pentas, suasana panggung bagaikan dilanda satu fenomena yang amat luar biasa.

Keadaan yang pada awalnya memang hangat menjadi lebih panas dan tidak tenteram. Vokal hebat yang mengalunkan lagu Usah Lepaskan ditenggelami sorakan peminat yang terlalu kuat. Sungguh menakjubkan penangan Taufik Batisah!

Meneruskan persembahannya, beliau mendendangkan sebuah lagu rancak yang diberi judul Tiada Dua.

Taufik, yang sempat ditemui penulis selepas konsert tersebut, mengharapkan yang terbaik untuk industri muzik tempatan.

Katanya: ‘Taufik amat bersyukur kerana malam ini menyaksikan semua artis Singapura membuat persembahan di atas satu pentas yang sama dan sambutan yang diterima melebihi apa yang dijangkakan.

‘Taufik amat berterima kasih kepada semua peminat di atas kesempatan dan kejayaan yang diraih pada malam ini.’

Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu dihoskan oleh Hafeez Glamour dan Aura Shai, DJ popular stesen tersebut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s