BH [24 Mei 11]: Artis Singapura dan Malaysia meriahkan Hari Ibu


Oleh Mohd Naser Ahmad

SUNGGUH meriah bak pesta apabila artis lama dan baru dari Singapura dan Malaysia bergabung dan berkongsi pentas mengenang jasa ibu dalam sebuah konsert khas Rindu Ibu Bersama, sempena Hari Ibu 14 Mei lalu.

Bertempat di Hotel AnCasa & Spa, Kuala Lumpur, rombongan seramai 200 orang dari Singapura dihiburkan dengan barisan artis baru tempatan seperti Hydir Idris dan Izzuwin Shah serta para finalis bintang karaoke Suara Gemilang 2011 dan Gema Suara 2011 seperti Muhd Sufie, Ahmad Tamim, Dania Darwisyah, Siti Zahirah dan Nur Aisyah.

Walaupun masih baru dalam bidang seni suara, penyanyi setempat berjaya menunjukkan persembahan cemerlang selain vokal mantap di samping artis jemputan popular dari Malaysia seperti Ramlah Ram, Zaiton Sameon, Azmir Arif dan Airiel Zulaily.

Acara yang berkonsepkan tradisional ini turut menampilkan pemuzik dari Singapura, Team Eva Luna, yang mengiringi persembahan artis secara live.

Dalam acara pembukaan, para penonton dihiburkan dengan lagu Laksamana Raja Dilaut oleh penyanyi bersuara lunak, Azmir Arif, sebelum pelakon dan pengacara sensasi, Masturah Ahmad, dan Hilmy Ashley dari TV Bernama (Astro), mengambil tempat sebagai hos majlis pada malam itu.

Kepetahan dan gaya candi kededua pengacara membuatkan dewan gamat dek telatah mereka yang cukup santai dan bersahaja!

Namun, suasana menjadi hening seketika apabila penyanyi Zaiton Sameon diiring ke atas pentas oleh Sufie, Airiel dan Azmir ketika mereka mendendangkan lagu Menaruh Harapan sebagai penghargaan buat beliau.

Keadaan Zaiton yang kurang stabil membuatkan persembahan beliau tersekat ketika menyampaikan lagu Syurga Di Telapak Kaki Ibu. Namun, beliau sempat bergurau-senda dengan penonton sehingga lagu selesai. Beliau turut menghiburkan penonton dengan lagu Inggeris, Black Magic Woman.

Kemunculan Ramlah Ram memang dinanti-nantikan. Kehebatan vokal Ramlah ketika menyampaikan lagu Zapin Yang Tinggal, Diam-Diam Jatuh Cinta dan Ketentuan, cukup membuktikan bahawa penyanyi berusia 45 tahun ini masih sukar ditandingi.

Ramlah, yang ditemui selepas acara berkata beliau amat tersentuh dengan sambutan yang diterimanya pada malam itu.

Sementara itu, Izzuwin Shah berasa teruja kerana gabungan artis kededua negara pada malam itu berjaya merapatkan jurang di antara mereka dengan penonton, selain dapat bergaul mesra dengan artis veteran dari seberang Tambak.

‘Sebagai pendatang baru dalam arena seni suara, saya bersyukur kerana dapat menimba pengalaman berkongsi pentas dengan artis senior seperti Kak Ramlah dan Kak Zaiton,’ katanya.

Majlis yang turut diserikan dengan kehadiran komposer lagulagu tradisional, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), menutup tirai dengan persembahan lagu-lagu tradisional dendangan Azmir Arif dan acara joget lambak.

Konsert selama tiga jam ini dianjurkan oleh U-MeDia Sdn Bhd dan ditaja oleh Bella Weddings dengan kerjasama De Hayat Travel & Services.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s