BH [21 Mac 09]: Utamakan Produksi Tempatan


MENJULANG trofi Pelakon Wanita Terbaik Dalam Watak Utama menerusi drama satu jam, Natasha Arina, di Pesta Perdana 10 baru-baru ini, membuatkan pelakon Rahimah Yusof berasa gugup seketika sewaktu menyampaikan ucapan penghargaannya.

Masakan tidak, beliau sama sekali tidak menjangkakan kemenangan itu menjadi miliknya, apatah lagi mengetepikan pelakon veteran, J Rosmini, selain Norfasarie dan Wahyu Rahman, yang kini semakin mendapat perhatian peminat drama Melayu tempatan.

Semasa ditemui baru-baru ini, Rahimah kelihatan ceria sambil melahirkan rasa syukurnya kerana lakonan beliau di dalam drama bersiri Projek Cerpen tersebut mendapat pengiktirafan tertinggi oleh pihak juri.

“Sewaktu nama saya diumumkan pemenang, saya seperti tidak percaya. Saya sangka Kak J (Rosmini) yang akan naik ke pentas. Namun, rezeki menjadi milik saya pada malam itu.

“Terima kasih saya ucapkan buat Puan Kamaliah dan ThreeG Karma di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk berlakon di dalam drama Natasha Arina,” sambung Rahimah yang meminati pelakon Barat, Meryl Streep.

Jelas Rahimah lagi, anugerah yang diterima bukan bermakna beliau adalah pelakon yang terbaik di Singapura. Banyak pengalaman berlakon yang harus ditimbanya demi mempertingkatkan lagi prestasi beliau dalam bidang lakonan yang amat diminatinya itu.

“Menerima gelaran Pelakon Wanita Terbaik bukan sesuatu yang mudah seperti yang disangkakan. Ia merupakan satu tanggungjawab berat yang harus saya pikul, serta peringatan bagi saya memperbaiki lagi mutu lakonan dari semasa ke semasa,” sambung Rahimah penuh bersemangat.

Sebagai usaha mengembangkan lagi bakat lakonan, pelakon tempatan seperti Aaron Aziz, Hetty Sarlene dan Adi Putra mencuba nasib mereka di seberang tambak dan berlakon beberapa drama di sana.

Tidakkah Rahimah berkeinginan mengikut jejak langkah mereka?

Jawab Rahimah: “Buat masa ini, saya belum bersedia melebarkan sayap ke sana. Bukan kerana riak. Tapi, keutamaan saya ialah berlakon di bawah produksi tempatan. Bagaimanapun, jika ada tawaran (dari seberang) pada masa hadapan, saya akan timbangkannya dengan teliti.”

Rahimah, yang turut tersenarai dalam kategori yang sama menerusi sebuah lagi drama, 1988… Segaris Sinar, bercita-cita ‘berhijrah’ ke Saluran 5 seperti pengacara popular, Suhaimi Yusoff, dan pelakon berkaliber, Masturah Ahmad, jika diberi peluang.

“Saya memang teringin muncul di saluran 5 ataupun di saluran Mediacorp yang lain. Saya rasa, ia mampu memberi ruang kepada saya mengetengahkan lagi bakat lakonan saya yang sedia ada,” ujar Rahimah penuh mengharap.

Bagaimanapun, jelas Rahimah, itu bukan bermakna beliau putus asa dengan jumlah bilangan drama yang pernah dijayakannya setakat ini. Beliau tetap akan beri keutamaan kepada produksi drama Melayu jika ditawarkan watak yang sesuai dengan dirinya.

Drama terbaru yang dijayakan Rahimah, Hi Bro, kini ditayangkan di saluran Suria pada setiap Rabu, 9.30 malam. Drama berunsur komedi ini turut dibintangi Azhar Nor Lesta, Roslan Kemat, Sahfuddin Mahfudz dan Aryati Tayeb Papar.

“Saya memegang watak Norain, seorang wanita moden tetapi sopan dan rajin membuat kerja rumah. Oleh kerana terlalu sayangkan suami (lakonan Azhar Nor Lesta), saya kuat cemburu,” terang Rahimah dengan lebih lanjut.

Sewaktu meminta komen Rahimah tentang pasaran drama Melayu yang agak kelam di Singapura, beliau terdiam seketika, tetapi mempunyai alasannya yang tersendiri dalam memperkatakan tentang isu ini.

Ulasnya: “Biarpun kita sedar industri drama Melayu terlalu kecil, itu bukan bermakna kewibawaan pelakon kita juga harus diperkecilkan ataupun diperlekehkan.

“Insya-Allah, jika kita percaya dengan kebolehan serta bakat yang ada pada pelakon kita, industri drama Melayu tempatan akan sentiasa berkembang dan drama kita akan terus diminati sampai bila-bila,” ujar Rahimah penuh yakin.

Mengulas tentang isu pakaian menjolok mata di Pesta Perdana yang dikemukakan oleh beberapa penonton menerusi ruangan Forum, Berita Harian baru-baru ini pula, Rahimah berasa kesal dan terkilan di atas kejadian tersebut dan berharap ia tidak berulang lagi.

“Bagi pihak personaliti wanita yang terbabit, saya ingin meminta maaf kepada penonton yang tersinggung dengan apa yang mereka saksikan pada malam itu. Perkara ini merupakan satu kesilapan yang tidak kami sengajakan,” pohon Rahimah sebelum mengakhiri pertemuan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s