BH [21 Jul 10]: ‘Ibu’ jadi taruhan


BERASAL daripada keluarga seni tidak menjadi pasport bagi bakat baru, Izzuwin Shah, 30 tahun, untuk menempa nama dalam persada muzik hari ini.

Seperti bakat baru yang lain, cucu penyanyi ’50-an, Allahyarham Rokiah Wanda, terpaksa meredah pelbagai rintangan untuk mendapatkan tempat sebagai penyanyi. Tetapi dengan semangat yang ada, beliau berjaya menghasilkan single-nya sendiri.

Izzuwin Shah merupakan seorang lagi bakat baru yang ingin mencuba nasib dalam persada muzik tanah air. Selain mewarisi bakat arwah neneknya, beliau juga tidak dapat lari daripada darah seni yang mengalir dalam ibunya, penyanyi dan pelakon Sharifah Fadilah Wanda (gambar sisipan), pelakon Gerimis Di Hati.

Walaupun beliau sedar pasaran album di Singapura agak terhad, itu tidak mematahkan semangat pemuda yang bersuara ‘jantan’ ini meneruskan hasratnya merancakkan lagi dunia seni suara tempatan.

Lagu Ibu merupakan single pertamanya yang telah pun berkumandang di corong-corong radio setempat sempena Hari Ibu tidak beberapa lama dulu.

Melodi dan senikata lagu tersebut merupakan ilham rasa Izzuwin sendiri sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ibunya selama ini.

‘Lagu ini terlalu istimewa buat saya. Bersama penerbit Mansoor Mohamed, kami berusaha gigih untuk memastikan lagu ini mampu menyentuh hati pendengar melalui aspek penyusunan lagu dan juga mutu vokal,’ ujar beliau.

Menurutnya lagi, selain mendendangkan lagu Ibu di pertunjukan pentas, beliau juga sering membawakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Jamal Abdillah, Ibnor Riza dan Shidee.

Tidak hairanlah sekiranya ada sesetengah pihak yang cuba membandingkan beliau dengan penyanyi-penyanyi lelaki mapan tersebut.

Mengulas tentang hal ini, katanya: ‘Saya merupakan peminat Jamal Abdillah dan tidak terlepas membawakan lagu-lagu beliau ketika membuat persembahan. Tapi itu bukan bermakna saya cuba meniru cara penyampaiannya. Saya ada gaya dan cara yang tersendiri. Saya harap isu tiru-meniru ini tidak akan timbul.’

Sebagai langkah memperkenalkan diri kepada orang ramai, Izzuwin diberi peluang membuat persembahan di Holiday Villa, Kuala Lumpur, baru-baru ini, sempena acara Bersamamu Ibu anjuran KrisMedia Pte Ltd, bersama Azian Mazuan Sapuwan, Sheila Rusly, Datuk Jalaludin Hassan dan Azmir Arif.

Izzuwin mengakui ibunya merupakan tulang belakang serta pendorong utamanya untuk terus berada dalam bidang ini.

‘Mummy adalah orang yang paling penting dalam hidup saya. Dia juga pengurus saya. Setiap kali ada undangan nyanyian, mummy yang akan menguruskannya.

‘Saya bersyukur kerana dikurniakan bakat turun-menurun daripada mummy dan juga arwah nenek. Saya berharap tidak akan mengecewakan mummy dan mereka yang sentiasa ingin melihat saya berjaya dalam bidang ini,’ tambahnya lagi.

Menyentuh tentang album penuh, Izzuwin yang mahukan album berkonsepkan pop rok dan balada ini, bakal menampilkan lagu ciptaan sendiri selain lagu hasil ciptaan komposer dari Malaysia. Enam lagu sudah disiapkan sejauh ini.

‘Saya sedang berusaha mendapatkan lagu daripada komposer dan juga penulis lirik terkenal dari Malaysia untuk memantapkan lagi album ini,’ ujarnya penuh yakin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s