
DI AWAL kemunculannya kira-kira 20 tahun lalu, nama Azian Mazwan Sapuan sering menjadi sebutan peminat dunia seni suara Melayu.
Masakan tidak, sebaik sahaja album pertama beliau, Erti Budi, yang diterbitkan oleh Manan Ngah dilancarkan pada 1987, penyanyi kecil molek ini diacap sebagai pesaing terdekat penyanyi jelita Fauziah Latiff yang cukup popular pada ketika itu.
Bahkan, lagunya, Rumah Kecil Tiang Seribu, ciptaan Ahmad Kadir dan Habsah Hassan, pernah dipertandingkan di pentas Anugerah Juara Lagu terbitan TV3 (Malaysia) pada 1993.
Bagaimanapun, sejak mendirikan rumah tangga bersama Mohd Ahrar Zulkarnain Zubir, 38 tahun, serta dikurniakan dengan tujuh cahaya mata, nama Azian bagaikan telah luput daripada ingatan peminat seni suara.
Ketika ditemui di majlis makan malam Bersamamu Ibu di Holiday Villa, Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau akui bidang nyanyian sudah sebati dengan dirinya sejak beliau berada di alam persekolahan lagi.
Oleh kerana kehidupan berkeluarga kini menjadi keutamaannya, bidang nyanyian terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu demi untuk menumpukan sepenuh perhatian pada suami dan anak-anak.
‘Selepas berumah tangga, kehidupan saya banyak berubah. Saya sedar peminat masih inginkan saya muncul dengan album baru. Tetapi, saya terpaksa akur dengan keadaan sekarang memandangkan saya mempunyai keluarga yang besar,’ jelas beliau yang mengakhiri zaman solonya pada usia 19 tahun.
Tambahnya lagi, kehidupan berkeluarga bukan bermakna bidang nyanyian yang dicintainya ditinggalkan sepenuhnya. Beliau masih tetap menerima undangan nyanyian di majlis makan malam dan korporat, serta pertunjukan pentas pada hujung minggu ataupun pada masa-masa yang sesuai.
‘Kalau ada tawaran show, saya akan berbincang dengan suami terlebih dahulu. Kalau masa dan keadaan mengizinkan, saya akan terima. Anak-anak pun kebanyakannya sudah dewasa, pandailah mereka menjaga diri. Suami pula banyak membantu,’ ujarnya tersenyum.
Menyentuh tentang perkembangan seni suaranya, Azian akui ada tawaran untuk merakamkan album baru, namun beliau tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan memandangkan beliau kini mempunyai pekerjaan tetap di Kuala Lumpur.
‘Saya sudah bertugas sebagai Pegawai Perakaunan selama 12 tahun. Agak sukar bagi saya untuk berulang-alik ke studio rakaman selepas waktu bekerja. Tambahan pula, keadaan memang tidak mengizinkan,’ ujarnya yang terakhir kali muncul dengan album kompilasi The Best of Me bersama Wann, empat tahun lalu.
Azian, 35 tahun, merupakan salah seorang finalis Bintang RTM pada 1986.
Walaupun tidak dinobatkan sebagai juara, pengalaman menyertai pertandingan gah seumpama itu semasa usianya baru 11 tahun, sedikit sebanyak membuka ruang bagi dirinya untuk terus mempertingkatkan prestasinya sebagai seorang penyanyi.
‘Saya tidak terkilan apabila nama saya tidak diumumkan sebagai pemenang. Pengadil pada ketika itu pun menganggap saya masih terlalu muda dan perjalanan saya dalam bidang seni suara masih terlalu jauh. Mara ke peringkat akhir sudah cukup seronok dan membanggakan,’ ujarnya mengakhiri perbualan.