SEDANG ekonomi suram mempengaruhi pasaran album yang lembap, penyanyi Ramlah Ram tidak gentar untuk mengotakan janjinya apabila muncul dengan buah tangan terbaru.
Kelmarin, album Ketentuan – Ramlah Ram, dilancarkan secara eksklusif di Tasik Mines Resort City, Selangor.
Album studio ini mengandungi 10 lagu baru ciptaan komposer terkenal dari Malaysia dan diedarkan oleh FMC Music (M) Sdn Bhd.
Album yang sudah lebih dua tahun tertangguh ini mempertaruhkan beberapa lagu yang dijangka hit.
Sebelum ini, Ramlah menghasilkan tiga single – Ketentuan (Azlan Abu Hassan/AD Samad), Cinta Beralah (Sharon Paul/Fedtri Yahya) dan Dirgahayu ciptaan Radeen Sri dan lirik oleh Hairul Anuar Harun.
Lagu Ketentuan dendangan Ramlah pernah menjuarai Pertandingan Hits 1 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), sementara Dirgahayu mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu yang ke-22 terbitan TV3.
Kesemua single yang dihasilkan sebelum ini turut dimuatkan di dalam album terbaru Ramlah.
Kelunakan serta tarikan vokal Ramlah tidak perlu dipertikaikan lagi. Walaupun usia beliau melewati pertengahan 40-an tahun, Ramlah masih mampu menyanyikan lagu- lagu yang bernada tinggi, sesuai dengan lagu-lagu yang digubah khas untuknya bagi dimuatkan di dalam album terbaru ini.
Gabungan Ramlah dan komposer Aidit Alfian mencuba sesuatu yang baru di dalam album ini juga membuahkan hasil yang baik. Lagu Radang Rindu (lirik nukilan AD Samad) dihasilkan dengan menggunakan muzik orkestra secara ‘live’. Aidit turut menyumbang sebuah lagi lagu yang berentak etnik fusion yang diberi judul Aku Dengan Dunia.
Bagaimanapun, kolaborasi di antara Ramlah dengan dua komposer mentor, M Nasir, bagi lagu Hadiah Setiaku dan Fauzi Marzuki (Bersimpuh di Pintu Hati) sedikit menghampakan.
Melodi yang kurang kepelbagaian membuatkan lagu ciptaan komposer senior tersebut kurang menyerlah dan masih berada di takuk lama.
Lagu-lagu lain yang terkandung di dalam album ke-11 Ramlah Ram ini ialah Langit Cinta gubahan Hazami, Sharon Paul (Pasti) dan Tam Spider menerusi lagu Kasih Yang Dulu.
Kemunculan semula Ramlah dengan album ini bakal menjadi penentu sejauh mana keberkesanan penyanyi evergreen seperti Ramlah untuk terus bertapak dalam dunia seni suara yang lazimnya kini, dikuasai oleh bintang TV realiti.
Tetapi apa yang pasti, Ketentuan merupakan salah sebuah album terbaik yang pernah dihasilkan Ramlah setakat ini.
Melihat pada kulit album Ramlah sahaja, saya berasa sungguh teruja dengan transformasi penyanyi yang suatu ketika dahulu pernah dicap sebagai ‘kekampungan’ sebelum ini.
Syabas buat Ramlah Ram!