SENYUMAN manis yang terukir di bibirnya tidak pernah lekang sebaik sahaja melangkah masuk ke salon kecantikan kegemarannya, sambil menyapa penulis untuk sesi interviu yang telah diaturkan dalam waktu yang singkat.
Tidak kelihatan langsung wajah lesunya walaupun beliau baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama dan telemovie di Singapura dan di seberang Tambak.
Itulah Mastura Ahmad.
Sifatnya yang peramah dan bersahaja, masih terus diminati ramai walaupun sudah lebih 15 tahun berkecimpung dalam arena teater, pengacaraan dan lakonan setempat.
Sikapnya yang mengutamakan disiplin sebagai tunggak kejayaan sebagai seorang pelakon sepenuh masa selama ini membuatkan ramai penerbit dan pengarah senang sekali bekerjasama dengannya.
‘Disiplin memang saya utamakan dalam setiap tanggungjawab yang digalas. Pada saya, itu adalah asas untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya.
‘Tapi, jangan pula ada yang kata asyik Mastura Ahmad saja yang selalu keluar TV! Saya ingin penonton menilaikan kualiti dan bukannya kuantiti,’ ujarnya ceria.
Tidak ‘demand’
Mastura juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau meletakkan harga yang tinggi setiap kali menerima tawaran berlakon.
Jelasnya, ia merupakan rezeki masing-masing dan beliau lebih selesa menghasilkan yang terbaik daripada memikirkan soal wang.
‘Bohonglah kalau saya katakan yang saya tidak pernah letak harga kalau ditawarkan oleh mana-mana syarikat produksi yang ingin bekerjasama dengan saya.
‘Tapi, itu bukan bermakna saya demand. Sebaliknya, saya akan beri komitmen lebih daripada seratus peratus mengikut apa yang dikehendaki oleh penerbit atau pengarah,’ ujarnya penuh semangat.
Tambahnya lagi, beliau lebih mengutamakan mutu lakonan yang di luar jangkaan dan efektif serta penghayatan yang boleh menembusi minda dan jiwa penonton.
Mastura juga menyifatkan soal bayaran sebagai perkara kedua.
Watak ibu malang
Sebagai seorang aktres yang sering muncul di kaca televisyen, Mastura akui sering ditawarkan watak ibu yang malang atau isteri yang ditindas, selain watak wanita yang lebih dewasa daripada usianya yang sebenar.
Apabila ditanya tentang hal ini beliau menjawab: ‘Saya pun kurang pasti kenapa saya sering diberikan watak sebegitu.
‘Walhal, saya teringin sekali melakonkan watak seorang wanita muda dan moden selain watak seorang kekasih yang penyayang yang sedang hangat dilamun cinta. Tapi, tolong jangan berikan saya watak hantu! Saya seorang yang penakut lah…,’ terangnya secara jujur.
Mastura, berusia 40-an tahun, masih menyimpan hasrat untuk melibatkan diri dalam sebarang persembahan teater muzikal jika diberi peluang.
Penyanyi kelab malam
Dalam kita mengenali Mastura sebagai seorang pelakon yang berkaliber, siapa sangka aktres dan pengacara yang pernah menggondol gelaran Pelakon Wanita Terbaik di Pesta Perdana 2001 dan 2002 ini pernah menimba pengalaman bernyanyi di kelab malam Parc Oasis di Kallang semasa usianya baru 18 tahun.
Menceritakan pengalamannya dengan lebih lanjut lagi, beliau menjelaskan: ‘Saya telah ditawarkan menyanyi di kelab tersebut kerana penyanyi asalnya tidak dapat hadir untuk membuat persembahan. Memang seronok kerana saya rasa seperti seorang performer dan bukan sebagai seorang penyanyi.
‘Bagaimanapun, hari tersebut merupakan yang pertama dan terakhir bagi saya. Nak tahu kenapa? Saya tak sangka yang pengunjung kelab malam itu adalah daripada golongan bapuk dan nyah! Selepas malam itu, saya terus menghilangkan diri!’ selorohnya tertawa.
Perkembangan terbaru
Menyentuh tentang perkembangan terkininya pula, Mastura masih dalam peringkat perbincangan untuk membintangi sebuah telemovie dalam bentuk DVD terbitan tempatan, yang membabitkan pelakon setempat dan seberang Tambak.
‘Insya-Allah, kalau semuanya berjalan dengan lancar, saya akan muncul dalam telemovie Empayar Don Ace, yang bakal diterbitkan oleh pelakon Singapura, Osman Sulaiman.
‘Tentang watak dalam telemovie tersebut, biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara waktu,’ ujar Mastura, yang terakhir kali muncul bersama hero popular, Rosyam Nor, dalam telemovie DVD, Cinta Selat Tebrau, yang dilancarkan baru-baru ini.
Kehidupan berkeluarga
Walaupun masanya sering dihabiskan menjalani penggambaran drama dan iklan televisyen, Mastura tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada empat orang anak.
Malah, apabila tiada aktiviti seni, beliau mengisi masa lapangnya bersama suami dan anak-anak.
‘Saya bersyukur kerana keluarga amat memahami situasi saya. Apabila saya penat selepas menjalani penggambaran sehari suntuk atau berminggu-minggu lamanya dan perlu berehat, suami yang banyak membantu menguruskan rumah dan anak-anak. Selain itu, ibu, serta ibu mentua dan juga kakak ipar saya turut membantu.
‘Tapi, itu bukan bermakna saya leka dengan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri dan ibu. Walaupun saya jarang bertemu mereka sekiranya ada sesi penggambaran yang lama, saya tetap akan keluar bersama mereka walaupun hanya seketika,’ tambahnya lagi.