Oleh Mohd Naser Ahmad
MELAHIRKAN dan menyediakan wadah bagi pembangunan bakat para karyawan muda muzik Melayu tempatan.
Itulah misi utama Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus) apabila bergabung tenaga dengan firma runding cara tempatan, CMX International.
Kerjasama itu termeterai sempena mesyuarat tahunan persatuan itu pada 4 Jun lalu, apabila satu Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perkamus dengan CMX International ditandatangani.
 Dengan termeterainya perjanjian dan kerjasama ini, lebih banyak kegiatan muzik yang melibatkan golongan muda setempat telah dirancang, selain melestarikan perkembangan dunia muzik Melayu Singapura dan nusantara hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Presiden Perkamus, Encik Yusnor Ef, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu visi dan tanggungjawab bersama untuk membawa arus muzik Melayu Singapura ke persada antarabangsa sambil mengekalkan nilai-nilai dan identiti ketimuran yang telah lama dipertahankan.
‘Saya percaya visi kita akan tetap diteruskan dalam mengharungi arus muzik hari ini yang terlalu cenderung ke arah kemodenan.
‘Saya amat mengharapkan agar Perkamus lebih peka dan menumpukan perhatian kepada muzik yang beridentitikan kemelayuan serta dapat mengimbangi pengaruh muzik barat yang semakin berleluasa pada hari ini,’ ujar beliau.
Mengenai MOU yang dibentangkan, banyak kegiatan dan aktiviti seni diatur sepanjang tahun ini dan tahun depan khusus buat para penggiat seni muzik setempat.
Ini termasuk projek amal, Piala Dollah Kassim, Konsert Marathon dan Malam Anugerah OURS, yang mengiktiraf artis setempat secara keseluruhannya dan juga karya mereka.
‘Tujuan utama kami adalah untuk melihat muzik Melayu Singapura berkembang dan terus maju hingga ke peringkat antarabangsa.
‘Sudah tiba masanya kita merealisasikan impian ini demi memartabatkan mereka yang memperjuangkan muzik Melayu tempatan,’ jelas Encik Sham Abdul Wahab, Pengarah Eksekutif CMX International.
Sementara itu, dalam mesyuarat tahunan Perkamus yang dihadiri sebilangan artis dan karyawan setempat, seramai 13 orang yang merangkumi para anggota lama dan baru telah dilantik selaku jawatankuasa.
Mereka termasuk penyanyi Art Fazil dan Zam Zam, serta penulis lirik Hartinah Ahmad dan Kamali Hudi.
‘Sebagai Presiden yang dilantik, saya sering mengingatkan semua ahli jawatankuasa agar jangan sesekali terkeluar daripada garisan yang melanggar sempadan kerana muzik menjunjung maruah sesuatu bangsa,’ tambah Encik Yusnor menutup bicara.
