Tarian Melayu masuk Dewan Teater Esplanade Februari depan

Oleh Mohd Naser Ahmad
HARI Raya seperti datang lebih awal di Esplanade Teater di Pinggiran pada hujung minggu lalu apabila suasana begitu meriah dengan orang ramai berpusu-pusu menyaksikan sajian acara-acara Melayu tradisional yang cukup indah dan segar.
Dianggarkan 10,000 orang datang menyaksikan acara-acara sempena Muara – Pesta Tari Melayu 2011 sepanjang tiga hari ia dianjurkan (8 hingga 10 Julai) dan dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr Yaacob Ibrahim. Memang gempak!
Lebih 700 penari dan aktivis seni daripada pelbagai peringkat usia berganding bahu dengan mempamerkan kreativiti dan aspirasi masing-masing dalam satu persembahan mantap buat tatapan para pengunjung.
Dengan tema ‘Menghayun silam ke hadapan’, festival sepanjang tiga hari itu berjaya melestarikan seni warisan bangsa menerusi tarian dan juga acara demonstrasi dan sesi berkongsi ilmu bersama tokoh-tokoh dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang berpengalaman dalam bidang seni.
Acara gemilang ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tarian Melayu Singapura dengan kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Esplanade Teater Di Persisiran dan diuruskan oleh Era Dance Theatre Ltd.
Selain penyertaan sekolah dan kumpulan amatur tempatan, kumpulan-kumpulan penari mapan dan popular seperti Perkumpulan Seni, Majlis Pusat Kirana Seni, Persadaku Seni Kelab Masyarakat Fuchun, Sriwana, Azpirasi Dance Group, Sri Warisan Som Said Performing Arts dan Teater Tari Era turut memeriahkan acara di samping SMK8 Solo, kumpulan penari jemputan yang dianggotai mahasiswa institusi seni dari Surakarta, Indonesia.
Turut menarik perhatian ialah kumpulan genderang yang baru ditubuhkan, Kharsani.
Salah seorang peserta, Pengarah Kreatif Sri Warisan Som Said Performing Arts, Marina Yusoff, menyifatkan persembahan kolaborasi bersama kumpulan lain dalam acara ini sebagai satu pertemuan eksklusif yang jarang sekali dianjurkan. Justeru kesempatan ini digunakan untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan antara mereka.
‘Selain berkongsi pentas, kami juga dapat menyaksikan kreativiti kumpulan masing-masing dalam setiap persembahan mereka dan juga meluaskan lagi idea dan karya bagi pertunjukan kami seterusnya,’ kata Marina yang turut menyanyi dan menari bersama para penari Sri Warisan.
Selain kumpulan penari, artis-artis tempatan dan seberang Tambak juga turut memeriahkan acara ini.
Para penonton telah dihidangkan dengan bacaan puisi penuh gaya dan emosi oleh Rafaat Hamzah serta persembahan nyanyian oleh Zaibaktian, Revalina, Aqmal N dan Azmir Arif dari Malaysia, yang diiringi para pemuzik secara live di bawah pimpinan Dzulkifli Rabull Jalel.
Menurut Zaibaktian, gabungan tarian, muzik dan puisi dalam satu festival merupakan idea baik dan berkesan dalam menyatukan masyarakat dan seni.
‘Harapan saya agar acara ini dapat diteruskan demi memperkenalkan dan mengekalkan warisan seni Melayu Singapura buat generasi akan datang,’ jelas beliau yang mempersembahkan dua lagu, Lelaki Baru dan Dunia Yang Fana.
Selain acara persembahan di pentas terbuka, para pengunjung juga telah berpeluang menyaksikan pameran tentang sejarah seni warisan bangsa selain demonstrasi membuat alat muzik tradisional seperti gambus, kompang dan marwas serta cara membuat songkok dan tanjak di ruang legar Esplanade.
Sealiran dengan visi agar idea dan aspirasi masyarakat seni Melayu Singapura diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi, pada pendapat penulis, Pesta Tari Melayu harus dijadikan acara tahunan agar semangat warisan seni Melayu dapat terus diterapkan dalam jiwa anak bangsa kita agar ia tidak ketinggalan dan dilupakan.
Bukan sekadar wadah tambahan kepada para penggiat tarian Melayu menonjolkan kreativiti mereka di pentas bertaraf antarabangsa, festival ini juga mampu mendedahkan kepada masyarakat berbilang bangsa supaya menghargai dan mendekati sajian warisan seni Melayu Singapura yang kaya dan berkualiti.
Pengarah Artistik Era Dance Theatre Ltd, Encik Osman Abdul Hamid, melahirkan rasa terima kasihnya kepada semua kumpulan penari tempatan yang memberi sokongan padu menjayakan festival tersebut.
‘Semangat yang ditunjukkan oleh badan-badan kesenian dan sekolah-sekolah yang menyertai pesta ini cukup luar biasa.
‘Tidak banyak badan tempatan dapat bekerjasama seperti ini. Kejayaan pesta ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama demi pengembangan dan pelestarian seni budaya Melayu di masa depan,’ kata Encik Osman.
Kalau kesemua acara pesta tahun ini dihidangkan secara percuma di luar dewan dalam salah satu sesi berkongsi ilmu yang diadakan di Library@Esplanade, pengarah dan penerbit festival, Encik Azrin Abdul Rahim, mendedahkan bahawa persembahan gabungan penari-penari tempatan akan melangkah ke Dewan Teater Esplanade (yang mengenakan tiket) pada Februari tahun depan.
‘Ini adalah kemajuan besar untuk para penari Singapura kerana telah mendapat kepercayaan daripada pihak-pihak berkenaan. Insya-Allah, tarian Melayu akan masuk panggung Espalande yang berpestij awal tahun depan,’ ujarnya.



