PERASAAN resahnya sukar disembunyikan pada saat-saat akhir sebelum acara Malam Gala 25 Tahun bermula.
Masakan tidak. Beberapa jam sebelum konsert bermula, suaranya hilang hingga terpaksa mendapatkan suntikan antibiotik di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Oleh kerana tidak mahu menghampakan lebih 200 peminat yang hadir pada malam itu, penyanyi bersuara lantang, Ramlah Ram, menggagahkan dirinya untuk naik ke pentas.
Dengan suara lantangnya yang tetap bertenaga seperti dulu, Ramlah membuktikan bahawa semangatnya cukup kuat untuk meneruskan perjuangannya seperti dulu.
Konsert yang berlangsung di Hotel Impiana KLCC pada 9 Oktober lalu menyaksikan Ramlah mendendangkan lebih 30 lagu yang telah disusun semula dengan diiringi band secara live.
Keresahan yang dilaluinya itu tidak sedikit pun menjadi hambatan bagi beliau merealisasikan impian dalam menyempurnakan sebuah konsert idaman yang buat julung-julung kali dianjurkan sepenuhnya oleh kelab peminat Ramlah Ram Group (RRG).
‘Saya inginkan yang terbaik hingga kesihatan saya terabai. Hampir setiap hari saya membuat latihan vokal walaupun saya sakit tekak. Ditambah pula dengan batuk sejak Ramadan lalu, suara saya tidak pulih sepenuhnya kerana hampir setiap minggu saya memenuhi undangan nyanyian.
‘Kerana khuatir dengan keadaan saya yang tidak pulih-pulih, saya telah menghubungi emak di kampung dan memintanya berdoa agar saya cepat sembuh dan mampu membuat yang terbaik pada malam ini,’ jelas Ramlah di sidang media selepas konsert berakhir.
Mengimbas kembali konsert eksklusif yang bermula pada 8.30 malam itu, acara digamatkan dengan celoteh dan gurau senda pengacara dan pelakon popular, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy).
Ramlah, yang pernah mendapat jolokan Whitney Houston Malaysia, membuka tirai persembahan dengan mendendangkan lagu Rindu, yang pernah dibawakannya sewaktu peringkat akhir Bintang RTM pada tahun 1985, diikuti dengan medley Sabarlah Sayang, Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi, Apa Khabar Mu Di Sana, Diam Diam Jatuh Cinta dan Penantian Yang Tak Berakhir.
Diselang-selikan dengan telatah Ogy yang turut membabitkan penyertaan para penonton, Ramlah muncul dalam segmen seterusnya dengan mendendangkan lagu-lagu hit beliau.
Dengan lontaran vokal yang cukup hebat, penonton dibuai emosi menerusi rangkaian lagu-lagu balada seperti Kau Kunci Cintaku (Dalam Hati Mu), Hati Sepi Seorang Perempuan, Di Ambang Pintu Kasih, Duri Dalam Cinta, Menanti Hati Mu Terbuka dan Keangkuhan Mu.
Walaupun beberapa ketika vokalnya tergelincir kerana masalah tekak yang dihadapinya, Ramlah berjaya mengatasi kesukaran itu dengan baik serta mendapat sorakan kuat dan tepukan gemuruh daripada penonton.
Kemampuan Ramlah menyampaikan lagu-lagu yang berirama tradisional memang tidak dapat disangkal lagi. Lagu-lagu yang dipersembahkan Ramlah termasuk Selamat Jalan Romeo, Zapin Yang Tinggal, Sekeping Cinta Sehampar Janji, Maharaja, Dirgahayu dan Antara Kasih, Sayang dan Cinta.
Penyanyi Nassier Wahab, yang sepatutnya membuat persembahan pada malam itu, tidak dapat hadir untuk berduet dengan Ramlah menerusi lagu Susah Senang Kita Bersama, kemudian digantikan dengan pendatang baru, Azam Pitt.
Vokal lantang Ramlah semakin terserlah saat beliau mendendangkan lagu Membilang Butir Harapan dan Siapa Yang Bersalah menerusi segmen piano.
Ramlah, yang tampil dengan empat persalinan baju rekaan Heyroll Basri, turut membuat kejutan dengan mempersembahkan lagu-lagu rok malar segar yang diminatinya sepanjang pembabitannya dalam arena seni suara.
Meskipun berulang kali Ramlah melahirkan rasa terkilan di atas keadaan kesihatannya pada malam itu, kehebatan Ramlah mengekalkan nada tingginya dalam persembahannya memang patut dipuji.