Sleeq diundang rakam duet dengan Ramlah Ram
Oleh Mohd Naser Ahmad
It’s not that I don’t love you
I just don’t want to hurt you
I can’t let go of all the good times we share together
I hate to be cold but I got to let you go
Sungguh kejamnya dirimu
Mengkhianati cinta yang kusemat di jiwa
Kau hancurkan segala harapan
Kau remukkan cinta yang telah kita bina…
INILAH di antara cebisan lirik lagu hasil nukilan dua jejaka kumpulan Sleeq, Ahmad Syarifullah, atau mesra dipanggil Syarif, 22 tahun, dan Alyph, atau nama sebenarnya, Alif Abdullah, juga 22 tahun.
Ibarat rezeki datang bergolek, mereka tidak mampu menolak undangan penyanyi terkenal Malaysia, Ramlah Ram, untuk berduet dalam single terbaru beliau, Sesaat Kau Datang.
Walaupun nama Sleeq tidak begitu dikenali peminat seni suara seberang tambak, kumpulan duo setempat itu turut dicalonkan dalam kategori Artis Singapura Paling Popular di Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 yang berlangsung semalam.
Mereka menganggap peluang merakamkan single yang berentak pop dan rap bersama bekas juara Bintang RTM 1985 itu bagaikan bulan jatuh ke riba.
Apa yang lebih meyakinkan, Sleeq juga telah diberi kepercayaan bergabung dengan Zie Syafruddin dari Malaysia bagi menghasilkan lirik dwibahasa Melayu-Inggeris untuk dipadankan dengan melodi ciptaan ID Mifzal dengan susunan muziknya oleh Adi daripada kumpulan 6ixth Sense.
‘Menulis lirik untuk lagu ini amat mencabar kemampuan kami. Alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan dan kami harap peminat dapat menerimanya,’ jelas Syarif ketika dihubungi.
Sementara itu, menurut Presiden Kelab Peminat Ramlah Ram Group (RRG), Encik Suzaimi Soaib, yang juga bertanggungjawab merealisasikan projek usaha sama ini, idea menggabungkan artis lama dan baru membuat beliau teruja memberi ruang bagi karyawan muda dari kededua negara untuk bergabung tenaga serta bertukar-tukar pendapat dalam penghasilan lagu dan album.
Menurut beliau lagi, pemilihan Sleeq juga berdasarkan populariti mereka di Singapura di samping mengetengahkan bakat anak-anak muda ini ke seluruh Malaysia.
‘Setelah mendengar mutu vokal serta persembahan Sleeq sewaktu rakaman, saya rasa mereka mempunyai potensi yang cukup besar untuk melangkah lebih jauh lagi.
‘Saya harap kerjasama kami dengan karyawan berbakat dari Singapura tidak terhenti setakat ini,’ ujar beliau.
Ramlah Ram, 45 tahun, yang turut teruja dengan pembabitan Sleeq dalam single terbaru beliau pula berpendapat, sudah tiba masanya era muzik masa kini diterapkan dalam album terbaru beliau yang dijangka menjenguk pasaran awal tahun depan.
Katanya, beliau kini lebih selesa bekerjasama dengan penggubah muda demi mempertingkatkan kerjaya seni suara yang diceburinya selama hampir 26 tahun.
Justeru, memberi tumpuan kepada kepelbagaian rentak lagu dengan sususan muzik moden masa kini amat penting untuk kekal relevan dalam industri seni suara hari ini.
‘Pembaharuan yang dilakukan dalam lagu-lagu terbaru saya diharap dapat menarik minat generasi muda menghargai muzik.
‘Walaupun ada yang baru mengenali nama Ramlah Ram, saya amat bersyukur kerana mereka sudi menerima saya seadanya,’ terang Ramlah ketika dihubungi penulis menerusi panggilan jauh.
Single yang diterbitkan oleh RRG ini bakal dilancarkan tidak lama lagi dan dijangka diputarkan di semua stesen radio seluruh Malaysia.

tak sabar nak tunggu single ni..macam best jerrr
Single ni memang best. I dah dengar secara menyeluruh. Sesuatu yang baru dari Ramlah Ram. Boleh meletop di carta popular radio. Nantikan tak lama lagi k.