Berat Mata Memandang…

MENGAIBKAN 1. memberi aib, mencela, mencerca 2. menghina, menodai (nama baik), memberi malu [Kamus Dewan, edisi keempat]

Perkataan yang sering disalah erti. Keadaan memaksa. Situasi yang diluar bidang kuasa. Mengapa kita “teruja” mengaibkan seseorang walaupun kita sedar ia adalah satu “hukuman dunia” yang sebolehnya cuba kita elakkan? Bagaimana pula resam manusia yang suka mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain, dan dalam masa yang sama, membela perilaku yang dibenci orang lalu menuduh dirinya diaib orang? Pelik bukan?

Berat mata memandang berat lagi bahuku yang memikulnya.

Bukan satu dua. Tapi ramai yang tampil bercerita. Semuanya cerita sama. Yang peliknya, mereka semua tidak mengenali antara satu sama lain. Bukan dari skrip drama popular. Bukan juga transkripsi pementasan di Esplanade mahupun di Panggung Kallang. Tapi dunia nyata. Dunia hipokrasi. Dunia yang penuh dengan kepura-puraan yang cuba ditutupi dengan firman Tuhan.

Mengapa wujud sikap kepalsuan? Mengapa bergelumang dengan dosa yang boleh membawa kepada kemurkaan?

Mengaku dalam kesusahan tapi bagaimana pula dengan orang lain yang menderita akibat kesusahan itu? Dimana 20 ribu yang digelapkan… 15 ribu milik insan yang tidak berdosa… 5 ribu yang hilang dalam bayangan semalam…. dan erti persahabatan yang turut lenyap dari ingatan?

Rona-rona kehidupan yang mencelah bermacam-macam hasutan dan dugaan. Datang dan pergi ikut sesuka hati. Kelam dalam kebingungan, musnah dalam kealpaan.

Ku tukil: gajah mati tinggalkan tulang, harimau mati tinggalkan belang, ENGKAU mati tinggalkan hutang.

Diriwayatkan dalam hadis: Jika kau berada di waktu petang janganlah kau menunggunya waktu pagi, jika kau berada di waktu pagi janganlah menunggu datangnya waktu petang. Persiapkanlah waktu sihatmu untuk menghadapi waktu sakitmu, dan pergunakan masa hidupmu untuk masa matimu.

Beringatlah, wahai insan dunia, sebelum hukum Allah datang bertamu. Wallahu’alam.

By Naser Ahmad Posted in My Life

Anak Watan Jadi Tumpuan

Akan Datang Di Berita Harian:


Raven kembali membawa sinar baru dalam industri seni tempatan. Dengan buah tangan terkini sebagai permulaan langkah, Raven bakal menjanjikan satu “gegaran” dalam persada muzik rok setempat.


Impian menggunung Masnie Mohd melahirkan album terbaru bersama komposer Saari Amri hanya tinggal kenangan. Beliau juga dakwa difitnah di Facebook. Penyanyi dangdut popular tanahair dedahkan semuanya kepada penulis.


Beliau pernah melahirkan album bersama Adnan Abu Hassan ketika usianya 12 tahun. Kini, setelah meningkat dewasa, Sufie “kembali” menyemarakkan dunia seni suara tanahair. Apakah rancangan beliau dalam waktu terdekat ini? Siapakah penyanyi wanita dari Filipina yang menjadi idaman pemuda tampan ini?


Benarkah sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri dari dunia lakonan? Kita selami hati Mastura Ahmad secara eksklusif.

Oleh
Mohd Naser Ahmad

*Foto-foto di atas dipetik dari laman Facebook artis

Hidup Bebas Hutang (BH, Rabu, 19 Okt 2011)

Bukanlah nak kenakan sesiapa. Tetapi secara kebetulanlah pulak Pak Su tulis kisah ini di Berita Harian (Rabu, 19 Oktober). Amatilah bersama. (:


Kalau ada orang hendak pinjam dan kita ada kelebihan berilah sebagai sedekah ikut kemampuan

SESEKALI apabila berkesempatan menonton program Melayu di televisyen bersama keluarga, Pak Su rasa kurang senang apabila terpantul iklan mengenai khidmat pinjaman wang.

Iklan itu mahu menarik (lebih buruk lagi kalau menggalakkan) orang kita berhutang. Takut-takut tabiat berhutang membudaya dalam masyarakat kita. Semoga dijauhi.

Mujurlah ada langkah yang akan diambil untuk mengawal iklan semacam itu.

Menurut laporan, peminjam wang berlesen tidak dibenarkan mengiklan khidmat mereka melalui surat khabar atau risalah dan kandungan iklan mereka dibataskan mulai 1 November ini.

Mereka hanya boleh mengiklan menerusi wadah khusus seperti direktori perniagaan dan direktori pengguna dalam media cetak atau dalam talian dalam web perniagaan mereka dan di kawasan perniagaan yang diluluskan.

Pak Su tak pasti mengenai iklan di TV, tetapi pengawalan itu memberi sedikit kelegaan.

Kita tahu nak pinjam wang itu mudah, tetapi nak membayarnya berat… ‘bercinta’ nak bayar.

Hutang ada beberapa jenis. Antaranya ialah:

  • Hutang yang sukar dielak seperti membeli flat (kebanyakan beli rumah secara berhutang, jarang ada membayarnya secara tunai. Tetapi ini juga kena ukur kemampuan).
  • Berhutang kerana keperluan dan benar-benar terdesak (kerana persekolahan, melanjutkan pelajaran dan sesuatu perkara mudarat yang mendadak dan tidak dapat dielak seperti kesihatan). 
  • Berhutang kerana keperluan tertentu (bergantung pada individu sama ada ia satu keperluan atau kemewahan) seperti hutang membeli kenderaan.
  • Berhutang kerana tidak dapat kawal nafsu untuk memiliki sesuatu yang di luar kemampuan… macam pakai dulu, bayar kemudian (baik barang kemas, perabot, ubah elok, majlis kahwin beli barang yang dihajat tetapi bukan mendesak kerana kad kredit ada di tangan). 
  • Berhutang kerana hendak bayar hutang (macam lirik lagu Salih Yacob… gali lubang, tutup lubang) – akibatnya tidak langsai dan makin bertambah dan melilit keliling pinggang.  
  • Berhutang kerana orang lain – jadi penjamin. Apabila yang berhutang mungkir janji, penjamin jadi galang ganti.

Hutang tidak kenal kedudukan.

Sebab kini bukan orang miskin sahaja yang berhutang (memang ini dapat difahami), malah ramai juga orang kaya dan berada terbeban dengan hutang. Ini mungkin kerana sudah menjadi lumrah hidup: kemampuan terbatas berbanding keinginan tidak terbatas; dan juga kerana bak kata peribahasa ‘besar periuk, besar keraknya’.

Malah banyak negara juga berhutang. Kita pernah melihat Amerika hampir berada di ambang bahaya kerana masalah hutang kredit dan kini ekonomi dunia di ambang kemelesetan ekoran masalah ekonomi Greece dan kemampuannya membayar hutang menjadi ancaman kepada benua Eropah yang boleh melimpah ke seluruh dunia.

Kecuali hutang budi yang dibawa ke mati, hutang lain perlu dibayar.

Kita telah saksikan betapa banyak kesan pada diri orang yang berhutang dan tidak mampu bayar.

Pada zaman nabi, ada sahabat yang mengunci diri dan tidak berani keluar rumah kerana takut bertemu dengan pemiutang.

Dalam zaman ini, kita baca kes kereta, rumah dan harta benda dirampas pihak berwenang kerana si polan tidak mampu bayar hutang.

Ada orang yang hidup tidak tenteram dan seisi keluarga merana ancaman tailong.

Dan lebih buruk lagi, ada orang yang ambil jalan pintas dengan menggadai tubuh dan bunuh diri.

Hutang nyawa pun dibayar dengan nyawa.

Yang kesiannya ialah orang-orang yang meminjamkan wang kepada adik-beradik, saudara-mara, sahabat dan kenalan. Apabila si polan tidak bayar hutang (atas pelbagai sebab) si pemiutang tak tahu dan tiada daya ambil tindakan, sebab mereka bukan macam bank yang boleh ambil tindakan merampas.

Akibatnya, ada hubungan terjejas dan jadi tegang, kawan jadi lawan. Akhirnya pemiutang gigit jari dan ‘makan hati’.

Semoga dijauhi.

Maka itu, apabila seseorang mati dan harta peninggalannya hendak diagihkan kepada waris, yang paling utama ialah memastikan hutang si mati dilangsaikan terlebih dahulu.

Islam juga menganjurkan beberapa perkara disegerakan, seperti menyegerakan pengebumian jenazah, mengahwinkan anak perempuan dan menyegerakan pembayaran hutang.

Pak Su bukan pakar kewangan yang boleh beri nasihat khusus bagaimana atasi masalah hutang. Tetapi ada beberapa panduan umum yang boleh kita amalkan:

  • Ukur baju di badan sendiri. Usah ikut orang lain, kawal keinginan agar sepadan dengan kemampuan diri. 
  • Ambil pelajaran daripada surah Yusuf: Menabung ketika senang bagi kegunaan di masa sukar.  
  • Seberapa boleh jangan pinjam dan jangan beri pinjam (nasihat daripada buku motivasi diri). Kalau ada orang nak pinjam dan kita pula ada kelebihan, beri sebagai sedekah ikut kemampuan kita. Dengan demikian, kita tidak galak budaya meminjam dan menyelamatkan hubungan.  
  • Amalkan doa yang diajarkan Nabi: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada bingung dan sedih. Aku berlindung kepada Engkau daripada lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau daripada pengecut dan kikir. Dan aku berlindung kepada Engkau daripada lilitan hutang dan kesewenang-wenangan manusia.’

Manusia sewajarnya mati meninggalkan nama. Jangan kerana hutang peribahasa kelak bertukar menjadi ‘gajah mati tinggalkan tulang, harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan hutang’.

Semoga kita menjadi masyarakat bebas hutang. Amin.

Pak Su

By Naser Ahmad Posted in Random