Lagu Hari Raya: Pandangan Berbeza


Suasana iftar di bulan Ramadan

Rata-rata di Facebook ramai yang memperkatakan tentang lagu-lagu Hari Raya yang mula berkumandang di corong-corong radio tempatan. Sebabnya: Umat Islam baru sahaja 12 hari menjalani ibadah puasa.

Bukannya apa. Ada yang khuatir iman kita akan tergugat dalam kita mengejar pahala Ramadan gara-gara “semangat Hari Raya” yang mula meresap ke dalam jiwa kita.

Dalam hal ini, saya rasa seperti berada di tengah-tengah “pertelagahan” ini. Betapa tidak. Dalam kita berpuasa dan berusaha mendapat ganjaran Allah di bulan yang suci ini, saya rasa tidak salah sekiranya lagu-lagu Hari Raya dimainkan di radio walaupun kita hanya baru 12 hari menjalankan perintah Allah dalam menahan lapar dan dahaga.

Lumrah kita manusia, Aidilfitri merupakan hari gembira buat semua umat Islam. Persiapan untuk meraikannya sudah awal-awal lagi dirancang.

Sama juga seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Cuma bezanya, mereka tidak perlu berpuasa dan mengejar pahala sebelum menyambut hari keramaian mereka.

Dalam Islam, kita diingatkan agar mempertingkatkan amalan dan mendekatkan diri pada Allah serta melipatkan-gandakan ibadah untuk mengejar Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan.

Ramai juga para rakan asatizah saya di Facebook yang menyentuh tentang isu di mana radio tempatan kita terlalu awal memainkan lagu-lagu Hari Raya.

Mereka tidak melarang umat Islam yang sibuk membuat persiapan menjelang Aidilfitri, cuma apa yang mereka risaukan sekiranya ibadah kita terganggu dek laungan vokal lantang Siti Nurhaliza, Sharifah Aini dan M Nasir mendendangkan lagu-lagu hits Hari Raya mereka.

Kemeriahan semasa Aidilfitri...

Lihat sahaja semasa pelancaran lampu lap-lip di Geylang Serai anjuran Majlis Pusat dan stesen Suria. Bukan main ramai yang mengkritik. Ada yang mencemuh. Ada juga pembaca yang mengirimkan surat bantahan di ruangan Forum di Berita Harian.

Juga ada kata-kata sinis dan sindiran yang saya baca mengatakan “dunia akan kiamat tidak lama lagi”.

Lain pandangan lain pula jadinya. Kita lihat sendiri, betapa ramainya lautan manusia yang membanjiri acara tersebut. Makcik-makcik yang bertudung terlonjat-lonjat kegembiraan apabila Stacy membuat persembahan. Itu belum lagi Rosyam Nor yang tampil ke atas pentas.

Bagaikan sudah terang lagi bersuluh. Pandangan umum tentang persiapan rancak untuk menyambut kedatangan Syawal amat bercanggah. Pendapat yang berbeza-beza hinggakan kita sendiri keliru dengan apa yang sebenarnya berlaku.

Namun begitu, dalam kita keriangan (ataupun dalam kedukaan) mendengar “Pulanglah” dari suara lunak Aishah ataupun “Sepasang Kurung Biru” dari Khairil Johari Johar, marilah kita berusaha agar ibadah kita tidak luntur dalam menjelangnya 10 terakhir Ramadan yang menjadi kemuncaknya.

Dalam merumuskan isu ini, terpulanglah pada kekuatan iman seseorang itu. Kita hanya doakan yang terbaik buat diri sendiri dan juga keluarga kita. Selebihnya, biarlah Allah swt yang menentukan amalan kita. Wallahu’alam.

By Naser Ahmad Posted in Ramadan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s