SEMPENA HARI KEBANGSAAN SINGAPURA KE-46
Allahyarham Zubir Said merupakan komposer Lagu Kebangsaan Singapura, ”Majulah Singapura” dan ”Semoga Bahagia” - lagu rasmi Hari Anak Singapura dan Festival Kaum Muda Singapura.
Allahyarham Zubir Said dilahirkan pada tanggal 22 Julai 1907 di Bukit Tinggi, Sumatera Barat dan meninggal dunia di Joo Chiat Place, Singapura, pada 16 November 1987 akibat penyakit hati yang dideritainya.
Allahyarham merupakan anak sulung daripada 8 beradik - 3 lelaki dan 5 perempuan. Ibunya meninggal dunia ketika beliau berusia 7 tahun.
Allahyarham Zubir Said mempelajari bidang muzik dan boleh bermain alat-alat muzik seperti seruling, gitar dan drum secara otodidak.
Meskipun beliau menerima pendidikan di sebuah sekolah belanda, Allahyarham lebih cenderung dan tertarik kepada bidang muzik.
Pada 1928, Allahyarham telah merantau ke Singapura untuk mencapai cita-citanya dalam bidang muzik meskipun ayahnya, Allahyarham Mohamad Said Sanang, membantah.
Karier Seni Muzik
Allahyarham Zubir Said memulakan karier seni muziknya di Bangsawan Group, sebuah kumpulan opera Melayu sebelum beliau berhijrah ke syarikat rakaman His Master’s Voice pada tahun 1936.
Allahyarham Zubir Said bernikah dengan Tarminah Kario Wikromo, seorang penyanyi keroncong di Jawa pada 1938.
Allahyarham telah pulang ke tanah kelahirannya di Bukit Tinggi pada 1941 dan kembali ke Singapura pada tahun yang sama dimana beliau bekerja sebagai jurugambar sambilan untuk akhbar Utusan Melayu.
Allahyarham telah menghasilkan lebih 1,500 karya berbentuk muzikal, namun ia belum disiarkan umum.
Allahyarham lebih menumpukan perhatian kepada para seniman muda yang ingin mempelajari dengan lebih mendalam tentang seni muzik, daripada mengejar keuntungan daripada hasil karya yang diciptanya.
Pada 1957, buat pertama kalinya, karya muzikal Allahyarham Zubir Said dipentaskan buat tontonton umum di Panggung Victoria.
Pada tahun 1958, Dewan Bandaraya telah menetapkan salah satu lagu ciptaannya sebagai lagu rasmi Singapura yang kemudiannya menjadi Lagu Kebangsaan Singapura.
Lagu-lagu ciptaan Allahyarham Zubir Said merupakan irama variasi - daripada irama tradisional hingga kepada lagu-lagu soundtrack bagi filem-filem terbitan Cathay Keris.
Salah satu lagunya yang dipetik dari filem Dang Anom telah menerima penghargaan di Festival Filem Asia ke-9 di Seoul, Korea Selatan, pada 1962.
Para komposer mapan pada ketika itu telah menilai karya ciptaan Allahyarham Zubir Said sebagai “Melayu Sejati” di mana kebanyakan lagu-lagu ciptaannya berunsurkan sejarah dan nilai-nilai kemelayuan yang membangkitkan semangat kemasyarakatan pada era 50-an.
Antara lagu-lagu ciptaan Allahyarham Zubir Said ialah Sang Rembulan, Sayang Di Sayang, Cinta, Selamat Berjumpa Lagi, Mari Pancing Ikan, Gelora Asmara, Kunang Dan Rama-Rama, Melodi Asmara, Kolam Mandi, Setangkai Kembang Melati, Nasib Malang dan Anak Daro.
Nota: Artikel ini telah disusun semula untuk siaran blog ini. Artikel ini pernah disiarkan dalam bahasa Indonesia di sebuah laman kaum Minang.