Singa “berlakon” di kandang Harimau?


HARIMAU MALAYA: Barisan pemain yang berjaya menyekat pasukan kita.

Semalam menyaksikan barisan Singa kita berlonjat kebanggaan di tengah-tengah ”kandang tuan rumah” setelah berjaya mengalahkan pasukan Harimau Malaya dengan agregat 6-4.

Pedulikan pancaran laser yang menerpa penjaga gawang kita, Izwan Mahbud, secara tiba-tiba. Apatah lagi kekata “bangsa asing” dan “Singa-pondan” seakan zikir dari lebih 85 ribu mulut penyokong Harimau Malaya itu.

Apa bezanya kalaupun Timbalan PM mereka hadir di salah sebuah stadium terbesar Asia? Juga kerabat Di-Raja mereka? Keputusan tidak akan berubah. Seri satu-sama. Mana perginya 3 gol yang dipukul-canang para penyokong Harimau?

Sudah lama aku tidak mengikuti perlawanan bolasepak antara Singapura dan Malaysia. Yang akhir, semasa kita menjulang Piala Malaysia sewaktu “zaman kegemilangan” Abbas Saad, Alistair Edwards dan Jang Jung dulu – ketiga-tiganya pemain “bangsa asing” yang dapat kita banggakan.

Terlonjak kegembiraan dalam rumah setiap kali pasukan kita menyumbatkan gol kemenangan. Semangat jati diri anak watan menebal pada waktu itu.

Seperti dulu, semangat kental itu masih lagi terperap dalam sanubari ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 antara “musuh ketat lama” yang berlangsung semalam.

Bertubi-tubi status FB dipenuhi dengan cemuhan, kritikan, pujian dan cacian sepanjang perlawanan berlangsung. Semangat “Satu Malaysia” mereka terserlah. Lihat sahaja kain rentang yang bergantungan di seluruh stadium. Penuh dengan kata-kata riak yang memualkan. Jijik dan “busuk”. Sedih bila diamati.

Para penyokong Singapura pula ditempatkan di bahagian korner stadium. Releks one-corner betul. Namun begitu, semangat ke-Singapura-an kita tidak pernah pudar. Masih terpahat slogan “One People, One Nation, One Singapore” – kekata yang menjadi tunggak sambutan Hari Kebangsaan kita beberapa tahun lalu.

Shi Jiayi, bersama-sama Aleksandar Duric dan Qiu Li – merupakan wira “bangsa asing” yang dapat kita banggakan. Itu yang penting.

Mengapa pula ada laungan ”100% Malaysia” dan “Tanah Tempat Tumpahnya Darahku” selagi semangat kesukanan yang ditunjukkan jiran rapat kita itu masih lagi tipis dan bercanggah? Perlukah kekata tersebut? Apa yang boleh kita rumuskan dari apa yang mereka ingin sampaikan?

Apapun, Singapura telah menunjukkan kehebatan bermain di padang lawan. Ini bukan yang terakhir. Bangsa Asing atau tidak, yang penting semangat kesukanan yang kita buktikan merupakan tunggak kejayaan Kodomo Lion (seperti yang dicap penyokong pasukan Harimau Malaya).

Ini bukan pentas sandiwara. Juga bukan iklan biskut Tiger. Kalau ada yang kata pasukan kita “berlakon” di kandang harimau, kita juga perlu ingat siapa pula Tuan Pengarahnya. Barulah drama “menjadi”.

Peace.

By Naser Ahmad Posted in Random

One comment on “Singa “berlakon” di kandang Harimau?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s