Mungkin ramai yang tertanya-tanya bilakah agaknya biografi Ramlah Ram akan diterbitkan dan menjenguk pasaran.
Duka-cita dimaklumkan, penghasilan buku tersebut terpaksa ditangguh ke waktu yang belum ditetapkan bagi memberi laluan kepada Ramlah menumpukan perhatian pada album terbarunya yang bakal diterbitkan pada awal tahun depan.
Walaupun ramai yang ternanti-nantikan biografi tersebut (menerusi maklum-balas yang diterima dari laman Facebook peribadi Ramlah dan Kelab Peminat Ramlah Ram Group), keputusan menangguhkan penghasilan buku ini terpaksa diambil bagi menghormati permintaan Ramlah.
“Akak nak tumpukan perhatian pada penerbitan album dan promosi dulu. Tentang biografi tu, kita hold dulu. Nanti akak dah bersedia kita akan sambung perbincangan,” jelas Ramlah Ram dalam mesej BlackBerry yang dikirimkan kepada aku baru-baru ini.
Mengikut perancangan, buku tersebut akan mengupas zaman kanak-kanak dan remaja Ramlah, di samping kisah perjalanan seni beliau yang berlatar-belakangkan kontroversi yang menggegarkan dunia hiburan Malaysia suatu ketika dulu.
