Al-Quran Mukjizat, Rasulullah Penyelamat

Assalamualaikum buat semua pengunjung budiman blog saya. Isnin ini, seluruh umat Islam nusantara akan mula berpuasa. Alhamdulillah… Allah swt telah memberi kekuatan bagi kita semua untuk beribadah dan mendekatkan diri kepadaNya. Sempena Ramadan yang mulia ini, blog ini akan memaparkan tulisan rakan saya, Al-fadhil Ustaz Mohd Yusri Yubhi Md Yusoff, yang dipetik dari laman beliau <abahyasir.com>. Syukur, Ustaz Yusri telah memberi kebenaran bagi saya menyiarkan semula karya beliau di blog ini. Semoga anda mendapat syafaat dan hidayah melalui penulisan beliau. Terima kasih.

Saya ingin berkongsi intipati tazkirah ringkas saya yang disampaikan di Masjid Al-Iman selepas solat Terawih tahun lalu.  Berikut merupakan sedutannya:

1. Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkah, rahmah, pengampunan dan juga merupakan bulan diturunkan padanya Al-Quran.

2. Firman Allah s.w.t.:

Bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah.” Al-Baqarah: 185

3. Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, ini merujuk kepada turunnya Al-Quran dari lauh mahfuz ke langit dunia (baitul ‘Izzah), sebelum ia kemudiannya diturunkan secara beransur-ansur kepada Baginda s.a.w. selama 23 tahun.

4. Mungkin timbul persoalan: Mengapa mukjizat teragung kitab? Mengapa tidak tongkat seperti Nabi Musa? Atau nabi2 yang lain.

- Sebagai contoh, Nabi Nuh a.s. dengan mukjizat taufan dan air bah yang hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Saleh a.s. dengan mukjizat unta hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Musa a.s. dengan mukjizat membelah air laut dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Isa a.s. dengan mukjizat boleh menghidupkan yang mati atas izin Allah dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja.

Bezanya:

- Nabi Muhammad s.a.w. dengan mukjizat Al-Quran berlaku untuk dan dirasai seluruh umat manusia ketika dan sesudah Baginda wafat, ia tetap relevan dan sesuai tidak kira masa, zaman dan tempat sehingga hari kiamat.

- Ia juga akan kekal terpelihara

- Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya” (Surah al-Hijr: 9),

- Dengan jaminan Allah ini, terpeliharalah kitab suci al-Quran daripada sebarang perubahan, dan bersinarlah cahaya nya ke seluruh dunia.

Gambar hiasan.

5. Nabi Muhammad s.a.w., bukan sekadar diutus pada masa zamannya tetapi juga untuk semesta alam!

Firman Allah: “Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” Al-Anbiya’: 107

6. Bagaimana Baginda menyampaikan ajaran Al-Quran?

a.  Melalui tutur kata:

Firman Allah “Dan ia tidak memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” Surah Al-Najm: 3-4.

- Ini bermaksud segala apa yang disabdakan dan disampaikan Nabi s.a.w. adalah bersandarkan kepada kefahaman Baginda s.a.w. terhadap Al-Quran.

- Memandangkan ketika itu Al-Quran belum selesai diturunkan wahyunya, kadangkala pandangan (ijtihad) Nabi tidak tepat, maka Allah s.w.t. akan membetulkan ijttihad Baginda dengan wahyu atau ayat Al-Quran –> Inilah yang dimaksudkan turunnya Al-Quran kerana sebab terjadi sesuatu peristiwa.

b.  Melalui akhlak.

-  Ini seperti yang dikatakan oleh Aisyah r.a. “bahawa akhlak Rasulullah adalah Al-Quran.”

-  Bermaksud segala budi pekerti dan akhlak Nabi bersumberkan daripada nilai-nilai murni yang dibawakan oleh Al-Quran.

7. Secara dasarnya Al-Quran yang ditinggalkan oleh Rasulullah pada kita, perlu dilakukan melalui beberapa perkara:

a. Baca

- Hendaklah kita membaca ayat suci Al-Quran, tidak kira secara bertilawah biasa ataupun secara tadarus melalui dua orang atau lebih, dengan seorang membaca dan satu lagi pula mendengar.

- Menurut Ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. itu adalah paling dermawan pada bulan Ramadan, dengan Baginda bertadarus bersama gurunya iaitu Jibril a.s.

- Sekarang kan dah senang nak baca Al-Quran di mana-mana? Ada Blackberry, iPhone dll. Manfaatkanlah teknologi sedia ada bagi mendekatkan diri kita pada Allah.

b. Faham

- Baca sahaja belum mencukupi, untuk mencapai nilai tambah pada amalan kita, kita juga perlu memahami ayat suci Al-Quran.

- Lihat sahaja Rasulullah s.a.w. pada satu ketika, pernah meminta sahabatnya yang bernama Abdullah bin Mas’ud supaya membaca Al-Quran di hadapannya. Sebagaimana diketahui Ibnu Mas’ud adalah sahabat Nabi yang terkenal dengan qira’ahnya yang bagus dan lagu serta suaranya yang amat merdu.

Ibnu Mas’ud membaca beberapa ayat dari surat an-Nisa’. Tetapi setelah sampai ayat 41, maka Rasulullah meminta Ibnu Mas’ud supaya berhenti, kerana air matanya telah bercucuran dek terharu.

Ayat an-Nisa’ 41 itu ertinya : “Betapa dahsyatnya keadaan di kala itu (hari akhirat), bila Kami (Allah) menghadirkan seorang saksi bagi setiap ummat, dan engkau (Muhammad) Kami hadirkan juga sebagai saksi bagi mereka.”

Rasulullah s.a.w. tidak menahan sebak mendengar ayat itu. Betapa tidak? Baginda amat menyayangi umatnya, pasti Bagida akan sedih apabila dia menyaksikan kelak umatnya yang sudah rusak moralnya. 

Bagaimana pula jika dia dihadirkan sebagai saksi bagi umatnya yang tidak beriman kepada Allah, dan apakah Baginda mampu menyaksikan umatnya yang derhaka itu diheret oleh malaikat ke neraka?

Semuanya itu terbayang di matanya, dan kerana itu Baginda tidak mampu menahan sebak di dada, berguguran air mata berlinangan di kedua pipi Baginda yang putih lagi bersih.  

Sabdanya: “Cukup, cukup, sampai di sini wahai ibnu Mas’ud,” kata Rasulullah kepada sahabatnya yang ahli qira’ah lagi bersuara merdu itu. Ya, Baginda terharu dan hatinya tersentuh.

- Cuba kita bayangkan keadaan kita nanti pada hari akhirat? Bagaimanakah isteri dan anak-anak kita. Begitu juga diri kita? Selamatkah kita?

- Melalui hadith ini, dapat juga difahami bahawa mendengar Al-Quran juga satu zikir buat anggota telinga kita, jika suka mendengar perkara yang buruk seperti kata-kata kesat atau umpatan adalah satu dosa, mendengar perkara yang baik juga satu pahala.

c.  Penghayatan/Tadabbur

- Bagaimana datangnya penghayatan terhadap Al-Quran? Pastinya dengan memahami isi kandungan Al-Quran.

- Jadi sambil baca, bolehlah renungkan terjemahan sekali, barulah timbul penghayatan seperti yang disebutkan dalam hadith Nabi sebelumnya.

d. Amal

- Maka selepas membaca, memahami dan menghayati, tidak lengkap jika kita tidak mengamalkannya… Betul tak?

- Oleh itu, amalkanlah apa yang kita baca. Mudah-mudahan kita diberikan ganjaran 0leh Allah s.w.t. dan tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Ameen.

By Naser Ahmad Posted in Ramadan

Singa “berlakon” di kandang Harimau?

HARIMAU MALAYA: Barisan pemain yang berjaya menyekat pasukan kita.

Semalam menyaksikan barisan Singa kita berlonjat kebanggaan di tengah-tengah ”kandang tuan rumah” setelah berjaya mengalahkan pasukan Harimau Malaya dengan agregat 6-4.

Pedulikan pancaran laser yang menerpa penjaga gawang kita, Izwan Mahbud, secara tiba-tiba. Apatah lagi kekata “bangsa asing” dan “Singa-pondan” seakan zikir dari lebih 85 ribu mulut penyokong Harimau Malaya itu.

Apa bezanya kalaupun Timbalan PM mereka hadir di salah sebuah stadium terbesar Asia? Juga kerabat Di-Raja mereka? Keputusan tidak akan berubah. Seri satu-sama. Mana perginya 3 gol yang dipukul-canang para penyokong Harimau?

Sudah lama aku tidak mengikuti perlawanan bolasepak antara Singapura dan Malaysia. Yang akhir, semasa kita menjulang Piala Malaysia sewaktu “zaman kegemilangan” Abbas Saad, Alistair Edwards dan Jang Jung dulu – ketiga-tiganya pemain “bangsa asing” yang dapat kita banggakan.

Terlonjak kegembiraan dalam rumah setiap kali pasukan kita menyumbatkan gol kemenangan. Semangat jati diri anak watan menebal pada waktu itu.

Seperti dulu, semangat kental itu masih lagi terperap dalam sanubari ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 antara “musuh ketat lama” yang berlangsung semalam.

Bertubi-tubi status FB dipenuhi dengan cemuhan, kritikan, pujian dan cacian sepanjang perlawanan berlangsung. Semangat “Satu Malaysia” mereka terserlah. Lihat sahaja kain rentang yang bergantungan di seluruh stadium. Penuh dengan kata-kata riak yang memualkan. Jijik dan “busuk”. Sedih bila diamati.

Para penyokong Singapura pula ditempatkan di bahagian korner stadium. Releks one-corner betul. Namun begitu, semangat ke-Singapura-an kita tidak pernah pudar. Masih terpahat slogan “One People, One Nation, One Singapore” – kekata yang menjadi tunggak sambutan Hari Kebangsaan kita beberapa tahun lalu.

Shi Jiayi, bersama-sama Aleksandar Duric dan Qiu Li – merupakan wira “bangsa asing” yang dapat kita banggakan. Itu yang penting.

Mengapa pula ada laungan ”100% Malaysia” dan “Tanah Tempat Tumpahnya Darahku” selagi semangat kesukanan yang ditunjukkan jiran rapat kita itu masih lagi tipis dan bercanggah? Perlukah kekata tersebut? Apa yang boleh kita rumuskan dari apa yang mereka ingin sampaikan?

Apapun, Singapura telah menunjukkan kehebatan bermain di padang lawan. Ini bukan yang terakhir. Bangsa Asing atau tidak, yang penting semangat kesukanan yang kita buktikan merupakan tunggak kejayaan Kodomo Lion (seperti yang dicap penyokong pasukan Harimau Malaya).

Ini bukan pentas sandiwara. Juga bukan iklan biskut Tiger. Kalau ada yang kata pasukan kita “berlakon” di kandang harimau, kita juga perlu ingat siapa pula Tuan Pengarahnya. Barulah drama “menjadi”.

Peace.

By Naser Ahmad Posted in Random

Ingin Berehat

Bila aku katakan di status FB baru-baru ini bahawa artikel “Gempak Di Muara” (BH, 18 Julai) merupakan karya “terakhir”, beberapa kenalan rapat telah mengirimkan SMS dan mesej melalui WhatsApp  dan bertanya sama ada aku benar-benar telah “keluar” dari Berita Harian (BH) dan “berhenti” sebagai penulis sambilan.

Taklah, jawabku ringkas. Aku tidak berhenti menulis. Aku juga tidak ‘meletakkan jawatan’ sebagai penulis sambilan di BH. Aku cuma ingin berehat hingga akhir tahun. Itulah yang aku maksudkan.

Mungkin ramai yang tidak tahu, menulis untuk akhbar bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Tapi tak perlulah aku jelaskan di sini kerana belum masanya aku dedahkan cara aku bertugas sebagai penulis sambilan di BH.

Cukuplah aku katakan bahawa aku ingin berehat seketika kerana “otak dah semakin mengecut’. Aku juga ingin menjaga kesihatan.

Cuma satu yang aku pinta, teruskanlah memberi sokongan kepada Berita Harian dan Berita Minggu - akhbar sulung berbahasa Melayu di Singapura.

Perasaan ini berbaur sedih apabila mendapat tahu ada sebilangan artis hanya membaca BH/BM bila kisah mereka tersiar di akhbar. Sebabnya? Mereka bukanlah pengikut BH/BM.

Aku rasa tawar hati dengan pengakuan ini.

By Naser Ahmad Posted in My Work

Biografi Ramlah Ram ditangguh…

RAMLAH RAM: Ingin tumpukan perhatian pada album baru dahulu. Foto: RRG

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bilakah agaknya biografi Ramlah Ram akan diterbitkan dan menjenguk pasaran.

Duka-cita dimaklumkan, penghasilan buku tersebut terpaksa ditangguh ke waktu yang belum ditetapkan bagi memberi laluan kepada Ramlah menumpukan perhatian pada album terbarunya yang bakal diterbitkan pada awal tahun depan.

Walaupun ramai yang ternanti-nantikan biografi tersebut (menerusi maklum-balas yang diterima dari laman Facebook peribadi Ramlah dan Kelab Peminat Ramlah Ram Group), keputusan menangguhkan penghasilan buku ini terpaksa diambil bagi menghormati permintaan Ramlah.

“Akak nak tumpukan perhatian pada penerbitan album dan promosi dulu. Tentang biografi tu, kita hold dulu. Nanti akak dah bersedia kita akan sambung perbincangan,” jelas Ramlah Ram dalam mesej BlackBerry yang dikirimkan kepada aku baru-baru ini.

Mengikut perancangan, buku tersebut akan mengupas zaman kanak-kanak dan remaja Ramlah, di samping kisah perjalanan seni beliau yang berlatar-belakangkan kontroversi yang menggegarkan dunia hiburan Malaysia suatu ketika dulu.

Kenangan Bersama SitiZoners

Kenangan bersama SitiZoners semasa konsert Siti Nurhaliza (2004) di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur - aku, tiga dari kanan...

TUJUH tahun yang lalu, terpahat kenangan yang terindah bersama SITIZONERS. Sekumpulan peminat Siti Nurhaliza yang merangkumi mereka dari pelbagai peringkat usia – dari Singapura, Malaysia dan juga Brunei Darussalam.

Setiap kali Siti membuat persembahan – tidak kira di wilayah mana, negara mana dan daerah mana, SitiZoners akan tampil memberi sokongan. Lengkap dengan t-shirt seragam dan sepanduk, tanda sokongan padu buat idola terhebat.

Saban tahun, semakin meningkat usia (juga kerana Siti sudah berumahtangga dengan Datuk K, selain peminat yang sudah mempunyai keluarga sendiri), para pengikut senior semakin menurun.

Namun, itu tidak menjejas populariti Siti. Setiap kali ada majlis penganugerahan, nama Siti Nurhaliza tidak pernah luput. Bahkan, semakin meniti di bibir peminat seni suara. Itulah penangan Mak Iti (nama ini wujud semenjak Siti “dikurniakan” anak-anak tiri setelah berkahwin).

Aku bergambar bersama peminat-peminat wanita Siti Nurhaliza, di luar Stadium Bukit Jalil (2004).

Walaupun pembabitan SitiZoners “pioneer” tidak lagi seaktif tujuh tahun dulu, penggerak warisan kumpulan peminat ini masih lagi berterusan – dengan nafas baru, perjuangan baru dan misi baru.

Aku tersentuh bila Siti menghargai perjuangan dan sokongan SitiZoners dalam ucapan penghargaannya di Anugerah Planet Muzik Jumaat lalu. Terasa diri ini masih lagi bersama mereka. Terasa Siti Nurhaliza dekat dengan hati - sama seperti dulu.

Masih teringat kenangan menghantar Siti di Lapangan Terbang Changi setelah menghadiri APM beberapa tahun yang lalu. Sempat bergambar dengan diva terulung itu lagi. Bila dah lepas bergambar, kecoh satu dunia kononnya akulah insan paling bertuah dapat bergambar dengan SITI NURHALIZA! Begitulah fanatiknya SitiZoners.

Kini, penglibatan aku bersama SitiZoners tidak seaktif dulu. Namun, nama Siti Nurhaliza tetap terpahat dalam hati. Walau apapun yang telah diaturkan dalam perjalanan karier seninya, SitiZoners tetap akan memberi sokongan dari belakang.

Yang popular akan tetap popular. Tapi yang popular tidak semestinya yang terbaik. Itulah kata-kata Siti Nurhaliza yang aku masih ingat sampai ke hari ini.

Untuk mengabadikan kenangan bersama Siti Nurhaliza dan SitiZoners, nama AURA MUSTIKA yang aku dikenali dulu akan sentiasa kekal buat selama-lamanya. Takkan ku hirau walau apa terjadi.

Semoga SitiZoners terus kekal, dan Selamat Maju Jaya buat Tok Iti