Kisah benar di Tanah Haram


Sekadar hiasan. (aku.saya.gua@wordpress)

Kisah yang akan aku ceritakan nanti merupakan kejadian yang benar-benar berlaku di tanah haram sewaktu aku mengerjakan umrah pada tahun lepas. Apa yang telah berlaku merupakan ketentuan dan kehendak ALLAH Subhanallahua Ta’ala, dan aku bersyukur kepadaNya kerana dapat merasakan nikmat yang diberi sewaktu berada di sana sebagai tetamuNya

Pada pagi yang cerah dan ceria itu, sesudahnya kami sarapan pagi selepas menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram, aku berserta abangku, Din, dan seorang lagi jemaah, abang Maidin, berhasrat untuk mendaki Jabal Nur.

Siapa yang tidak ingin ke sana dan melihat sendiri Gua Hira yang terletak di puncak Jabal Nur. Tempat di mana Baginda Rasulullah s.a.w. menerima wahyu pertama dari ALLAH s.w.t. melalui Malaikat Jibrail a.s..

Dengan berpandukan seorang warga Indonesia yang bertugas di sana di bawah jagaan syarikat GSA yang kami sertai, beliau telah membawa kami ke Jabal Nur dengan menaiki teksi.

Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui betapa hati ini terasa berkobar-kobar untuk ke Gua Hira. Masakan tidak. Aku sering membaca kisah Baginda s.a.w. berkhalwat di gua tersebut semata-mata untuk mencari ketenangan jiwa, serta saat Baginda s.a.w. dipertemukan dengan Jibrail a.s. buat pertama kalinya.

Setibanya di kaki Jabal Nur, aku berdoa di dalam hati agar hasratku untuk ke puncaknya diperkenankan ALLAH tanpa halangan, serta perjalanan kami bertiga selamat dan diberkati.

Di kaki bukit Jabal Nur... (aku.saya.gua@wordpress)

Langit biru menambahkan lagi keceriaan di dalam hati. Semangat kobar yang terpahat sejak dari tadi berterusan memacak hingga ke setiap pelusuk jiwa. ALLAH itu Maha Berkuasa atas segala-galanya, sentak benakku.

Setiap langkah yang aku lalui aku ungkapkan kalimah: “Subhanallah…Alhamdulillah… La’illa Ha’illallah… Allahu Akbar…” tanpa henti.

Aku berhenti seketika semasa pendakian untuk menogok sedikit air sekadar untuk membasahi tekak yang kering sambil mendongak ke atas untuk melihat berapa jauh lagi perjalanan untuk aku sampai ke puncaknya.

Abang Din dan Abang Maidin sejak dari tadi sudah berada di hadapan sedangkan aku masih lagi terkial-kial di belakang mereka. Sedang aku mendaki sambil kalimah ALLAH berterusan berkumat-kamit di bibir, pandanganku tiba-tiba beralih ke seorang wanita yang sedang berdiri di pertengahan bukit tersebut.

Dengan berjubah dan berselendang panjang berwarna merah, beliau seolah-olah sedang menadah tangan sambil berdoa (nota: untuk matlumat anda, pada ketika itu, kami tidak pasti di manakah sebenarnya arah kiblat kerana tidak diberitahu sebelum mendaki).

Foto sekadar hiasan. (aku.saya.gua@wordpress)

Dari arah pandanganku pada ketika itu, wanita tersebut mempunyai paras ketinggian dan rupa yang menawan. Kulit pipinya putih bersih, biarpun angin sepoi-sepoi bahasa sesekali meniup selendang yang dipakai wanita tersebut, menutupi sebahagian daripada wajahnya.

Astarghfirullah. Sedang beribadat tidak boleh melihat wanita dalam keadaan yang macam tu, berdosa! Mungkin wanita tersebut berasa letih sewaktu mendaki dan berhenti sejenak untuk bermohon dan berdoa kepada ALLAH agaknya, bisik hatiku.

Aku teruskan pendakian. Setibanya aku di tempat wanita tadi berdoa, beliau sudah tidak lagi kelihatan di situ. Hmm. Mungkin dia dah sampai ke puncak agaknya, hati ini berkata-kata.

Alhamdulillah. Berkat kesabaran, aku sampai juga ke Gua Hira. Aku amat bersyukur kerana tiada halangan sewaktu pendakian. Mataku kemudian berligar-ligar mencari wanita berjubah merah tadi. Namun, dia yang aku cari tidak juga kelihatan di setiap pelusuk kawasan gua yang sempit dan kecil itu.

Di gua inilah Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu pertama. (aku.saya.gua@wordpress)

Dengan perasaan yang bercampur-baur, barulah aku sedar bahawa kelibat wanita yang aku lihat sewaktu mendaki tadi bukanlah seorang wanita biasa. ALLAH ingin tunjukkan kepadaku betapa segalanya boleh berlaku di atas kehendakNya.

Tanpa lengah, aku solat sunat dua raka’at di dalam gua sambil memanjatkan kesyukuran kehadrat ALLAH di atas “nikmat” yang diberikanNya kepadaku.

Aku tidak menceritakan kisah ini kepada sesiapapun sehinggalah aku tiba di Singapura. Pelbagai maklum-balas yang aku terima dari keluarga tentang siapakah sebenarnya wanita yang berjubah merah itu.

Selang beberapa bulan kemudian sekembalinya aku dari umrah, aku mendapatkan sebuah buku hasil tulisan Hajjah Amina Adil yang bertajuk “Muhammad – The Messenger of Islam, His Life & Prophecy“.

Di dalam sebuah bab yang menceritakan tentang isteri Baginda s.a.w. iaitu Siti Khadijah r.a., ada satu perenggan yang menarik perhatianku. Perenggan tersebut menceritakan bahawa sewaktu Rasulullah s.a.w. sedang berkhalwat di Gua Hira, Siti Khadijah r.a. sering mendaki Jabal Nur untuk membekalkan makanan dan minuman buat Baginda s.a.w..

Dan menurut kisah dalam buku itu juga, Siti Khadijah r.a. gemar memakai jubah yang berwarna merah dan beliau tidak pernah lepas mengenakan jubah berwarna merah itu setiap kali mengunjungi Baginda s.a.w..

Maha Suci ALLAH. Sama ada aku diperlihatkan ALLAH untuk ditemukan “secara tidak langsung” dengan Siti Khadijah r.a. pada hari yang penuh barakah itu, hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Kelibat wanita berjubah merah yang berkulit cerah, putih bersih itu tidak akan pernah luput dari minda dan fikiranku, selagi hayat ini dikandung badan…

Nas: Kisah yang benar-benar berlaku di atas telah lama aku pendam sejak sekembalinya dari tanah suci pada Mac 2008 semata-mata untuk menghindari dari perkara yang tidak menyenangkan.

Bukan kerana riak atau sifat menunjuk-nunjuk yang membuatkan aku ingin sampaikan kisah ini kepada umum, tapi kerana aku “terpanggil” untuk menotakannya ke laman ini untuk berkongsi pengalaman dengan anda sewaktu kami berada di rumah ALLAH.

Aku hanyalah manusia biasa yang telah banyak membuat kesilapan dan dosa. Mungkin dengan apa yang diperlihatkan kepadaku membuatkan diri ini bertambah insaf, sedar dan lebih dekat kepadaNya.

Wallahu’aklam.

Kisah benar di Tanah Haram II: Kisah 7 ekor kucing di puncak Jabal Nur… Nantikan.

One comment on “Kisah benar di Tanah Haram

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s