Berat Mata Memandang…

MENGAIBKAN 1. memberi aib, mencela, mencerca 2. menghina, menodai (nama baik), memberi malu [Kamus Dewan, edisi keempat]

Perkataan yang sering disalah erti. Keadaan memaksa. Situasi yang diluar bidang kuasa. Mengapa kita “teruja” mengaibkan seseorang walaupun kita sedar ia adalah satu “hukuman dunia” yang sebolehnya cuba kita elakkan? Bagaimana pula resam manusia yang suka mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain, dan dalam masa yang sama, membela perilaku yang dibenci orang lalu menuduh dirinya diaib orang? Pelik bukan?

Berat mata memandang berat lagi bahuku yang memikulnya.

Bukan satu dua. Tapi ramai yang tampil bercerita. Semuanya cerita sama. Yang peliknya, mereka semua tidak mengenali antara satu sama lain. Bukan dari skrip drama popular. Bukan juga transkripsi pementasan di Esplanade mahupun di Panggung Kallang. Tapi dunia nyata. Dunia hipokrasi. Dunia yang penuh dengan kepura-puraan yang cuba ditutupi dengan firman Tuhan.

Mengapa wujud sikap kepalsuan? Mengapa bergelumang dengan dosa yang boleh membawa kepada kemurkaan?

Mengaku dalam kesusahan tapi bagaimana pula dengan orang lain yang menderita akibat kesusahan itu? Dimana 20 ribu yang digelapkan… 15 ribu milik insan yang tidak berdosa… 5 ribu yang hilang dalam bayangan semalam…. dan erti persahabatan yang turut lenyap dari ingatan?

Rona-rona kehidupan yang mencelah bermacam-macam hasutan dan dugaan. Datang dan pergi ikut sesuka hati. Kelam dalam kebingungan, musnah dalam kealpaan.

Ku tukil: gajah mati tinggalkan tulang, harimau mati tinggalkan belang, ENGKAU mati tinggalkan hutang.

Diriwayatkan dalam hadis: Jika kau berada di waktu petang janganlah kau menunggunya waktu pagi, jika kau berada di waktu pagi janganlah menunggu datangnya waktu petang. Persiapkanlah waktu sihatmu untuk menghadapi waktu sakitmu, dan pergunakan masa hidupmu untuk masa matimu.

Beringatlah, wahai insan dunia, sebelum hukum Allah datang bertamu. Wallahu’alam.

By Naser Ahmad Posted in My Life

Anak Watan Jadi Tumpuan

Akan Datang Di Berita Harian:


Raven kembali membawa sinar baru dalam industri seni tempatan. Dengan buah tangan terkini sebagai permulaan langkah, Raven bakal menjanjikan satu “gegaran” dalam persada muzik rok setempat.


Impian menggunung Masnie Mohd melahirkan album terbaru bersama komposer Saari Amri hanya tinggal kenangan. Beliau juga dakwa difitnah di Facebook. Penyanyi dangdut popular tanahair dedahkan semuanya kepada penulis.


Beliau pernah melahirkan album bersama Adnan Abu Hassan ketika usianya 12 tahun. Kini, setelah meningkat dewasa, Sufie “kembali” menyemarakkan dunia seni suara tanahair. Apakah rancangan beliau dalam waktu terdekat ini? Siapakah penyanyi wanita dari Filipina yang menjadi idaman pemuda tampan ini?


Benarkah sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri dari dunia lakonan? Kita selami hati Mastura Ahmad secara eksklusif.

Oleh
Mohd Naser Ahmad

*Foto-foto di atas dipetik dari laman Facebook artis

Hidup Bebas Hutang (BH, Rabu, 19 Okt 2011)

Bukanlah nak kenakan sesiapa. Tetapi secara kebetulanlah pulak Pak Su tulis kisah ini di Berita Harian (Rabu, 19 Oktober). Amatilah bersama. (:


Kalau ada orang hendak pinjam dan kita ada kelebihan berilah sebagai sedekah ikut kemampuan

SESEKALI apabila berkesempatan menonton program Melayu di televisyen bersama keluarga, Pak Su rasa kurang senang apabila terpantul iklan mengenai khidmat pinjaman wang.

Iklan itu mahu menarik (lebih buruk lagi kalau menggalakkan) orang kita berhutang. Takut-takut tabiat berhutang membudaya dalam masyarakat kita. Semoga dijauhi.

Mujurlah ada langkah yang akan diambil untuk mengawal iklan semacam itu.

Menurut laporan, peminjam wang berlesen tidak dibenarkan mengiklan khidmat mereka melalui surat khabar atau risalah dan kandungan iklan mereka dibataskan mulai 1 November ini.

Mereka hanya boleh mengiklan menerusi wadah khusus seperti direktori perniagaan dan direktori pengguna dalam media cetak atau dalam talian dalam web perniagaan mereka dan di kawasan perniagaan yang diluluskan.

Pak Su tak pasti mengenai iklan di TV, tetapi pengawalan itu memberi sedikit kelegaan.

Kita tahu nak pinjam wang itu mudah, tetapi nak membayarnya berat… ‘bercinta’ nak bayar.

Hutang ada beberapa jenis. Antaranya ialah:

  • Hutang yang sukar dielak seperti membeli flat (kebanyakan beli rumah secara berhutang, jarang ada membayarnya secara tunai. Tetapi ini juga kena ukur kemampuan).
  • Berhutang kerana keperluan dan benar-benar terdesak (kerana persekolahan, melanjutkan pelajaran dan sesuatu perkara mudarat yang mendadak dan tidak dapat dielak seperti kesihatan). 
  • Berhutang kerana keperluan tertentu (bergantung pada individu sama ada ia satu keperluan atau kemewahan) seperti hutang membeli kenderaan.
  • Berhutang kerana tidak dapat kawal nafsu untuk memiliki sesuatu yang di luar kemampuan… macam pakai dulu, bayar kemudian (baik barang kemas, perabot, ubah elok, majlis kahwin beli barang yang dihajat tetapi bukan mendesak kerana kad kredit ada di tangan). 
  • Berhutang kerana hendak bayar hutang (macam lirik lagu Salih Yacob… gali lubang, tutup lubang) – akibatnya tidak langsai dan makin bertambah dan melilit keliling pinggang.  
  • Berhutang kerana orang lain – jadi penjamin. Apabila yang berhutang mungkir janji, penjamin jadi galang ganti.

Hutang tidak kenal kedudukan.

Sebab kini bukan orang miskin sahaja yang berhutang (memang ini dapat difahami), malah ramai juga orang kaya dan berada terbeban dengan hutang. Ini mungkin kerana sudah menjadi lumrah hidup: kemampuan terbatas berbanding keinginan tidak terbatas; dan juga kerana bak kata peribahasa ‘besar periuk, besar keraknya’.

Malah banyak negara juga berhutang. Kita pernah melihat Amerika hampir berada di ambang bahaya kerana masalah hutang kredit dan kini ekonomi dunia di ambang kemelesetan ekoran masalah ekonomi Greece dan kemampuannya membayar hutang menjadi ancaman kepada benua Eropah yang boleh melimpah ke seluruh dunia.

Kecuali hutang budi yang dibawa ke mati, hutang lain perlu dibayar.

Kita telah saksikan betapa banyak kesan pada diri orang yang berhutang dan tidak mampu bayar.

Pada zaman nabi, ada sahabat yang mengunci diri dan tidak berani keluar rumah kerana takut bertemu dengan pemiutang.

Dalam zaman ini, kita baca kes kereta, rumah dan harta benda dirampas pihak berwenang kerana si polan tidak mampu bayar hutang.

Ada orang yang hidup tidak tenteram dan seisi keluarga merana ancaman tailong.

Dan lebih buruk lagi, ada orang yang ambil jalan pintas dengan menggadai tubuh dan bunuh diri.

Hutang nyawa pun dibayar dengan nyawa.

Yang kesiannya ialah orang-orang yang meminjamkan wang kepada adik-beradik, saudara-mara, sahabat dan kenalan. Apabila si polan tidak bayar hutang (atas pelbagai sebab) si pemiutang tak tahu dan tiada daya ambil tindakan, sebab mereka bukan macam bank yang boleh ambil tindakan merampas.

Akibatnya, ada hubungan terjejas dan jadi tegang, kawan jadi lawan. Akhirnya pemiutang gigit jari dan ‘makan hati’.

Semoga dijauhi.

Maka itu, apabila seseorang mati dan harta peninggalannya hendak diagihkan kepada waris, yang paling utama ialah memastikan hutang si mati dilangsaikan terlebih dahulu.

Islam juga menganjurkan beberapa perkara disegerakan, seperti menyegerakan pengebumian jenazah, mengahwinkan anak perempuan dan menyegerakan pembayaran hutang.

Pak Su bukan pakar kewangan yang boleh beri nasihat khusus bagaimana atasi masalah hutang. Tetapi ada beberapa panduan umum yang boleh kita amalkan:

  • Ukur baju di badan sendiri. Usah ikut orang lain, kawal keinginan agar sepadan dengan kemampuan diri. 
  • Ambil pelajaran daripada surah Yusuf: Menabung ketika senang bagi kegunaan di masa sukar.  
  • Seberapa boleh jangan pinjam dan jangan beri pinjam (nasihat daripada buku motivasi diri). Kalau ada orang nak pinjam dan kita pula ada kelebihan, beri sebagai sedekah ikut kemampuan kita. Dengan demikian, kita tidak galak budaya meminjam dan menyelamatkan hubungan.  
  • Amalkan doa yang diajarkan Nabi: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada bingung dan sedih. Aku berlindung kepada Engkau daripada lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau daripada pengecut dan kikir. Dan aku berlindung kepada Engkau daripada lilitan hutang dan kesewenang-wenangan manusia.’

Manusia sewajarnya mati meninggalkan nama. Jangan kerana hutang peribahasa kelak bertukar menjadi ‘gajah mati tinggalkan tulang, harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan hutang’.

Semoga kita menjadi masyarakat bebas hutang. Amin.

Pak Su

By Naser Ahmad Posted in Random

Cintan-Cintun…Sorry-to-disappoint. :D

Ewah-ewah, pantang aku sebut pasal relationship. Baru mukadimah di FB sikit ramai yang dah bertanya. Mesej bertubi-tubi memenuhi kotak SMS dan Whatsapp. Itu belum termasuk BlackBerry Message. Kononnya anak Encik Ahmad dah mula rancang nak jamu nasi minyak.

 Ya, Allah. Apalah… aku bukan selebriti. Tak terkenal langsung. Ini bukan kali pertama aku kena “serang” dengan soalan cepu emas macam ni.

Baiklah, untuk “menyedapkan” hati beberapa pihak yang sibuk bertanya, aku tidak bercinta dengan sesiapa. Masih single macam dulu. Masih bujang trang-tang-tang. Tiada rancangan untuk adakan majlis santapan nasi minyak, nasi briyani ataupun yang sewaktu dengannya.

Bukannya apa. Aku sedar siapalah aku nak buat kenyataan. Tapi, posting semacam ni bukan yang pertama. Kalau imbau balik apa yang pernah aku tulis sebelum ini, ada beberapa karya aku yang menyentuh persoalan ini. Biasalah… “soalan Melayu” – bila nak kawen; nanti dah tua siapa nak jaga? Takkan harapkan mak bapak? Kalau dorang dah takde, macam mana? Ish! Kita doakan yang terbaik, ye?

Kalau pun pada masa akan datang ada yang nampak aku dengan seseorang, janganlah “jump the gun”. Keluar bersama tak semestinya kami sedang bercinta. Rakan biasa. Tak salah rasanya. Jangan pula ada yang salah-sangka.

Kwang x3. Mungkin juga ada yang akan kata: Eh, belum apa-apa, dah self-defensive? Hah. Aku rasa aku perlu. Dah, tak perlu elaborate lagi. Mudah-mudahan dijauhkan segala fitnah. :D

Hari Raya bakal menjelang. Dah buat persiapan? (Tukar topik tak agak-agak).

Nuzul Al-Quran

Oleh Dr Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam (Universiti Kebangsaan Malaysia)

17 Ramadhan merupakan salah satu hari yang berlaku peristiwa penting dalam Islam.

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya.

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’.

Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).” (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.

Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq, maksudnya:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)

By Naser Ahmad Posted in Ramadan